Orang ramai membeli barangan keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah catat hasil hampir RM700,000 sejak dilancar Februari

KAJANG, 17 APRIL: Program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat perolehan hampir RM700,000 sejak dilancar pada Februari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata kutipan itu hasil jualan ayam, telur, ikan, daging serta sayur-sayuran melibatkan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Antara barangan yang mendapat sambutan ialah telur, ayam dan minyak masak paket. Harga ditawarkan berpatutan seperti minyak masak paket dijual RM2, ayam RM12 seekor dan telur pula RM10 untuk sepapan.

“Program jualan ini amat murah dan rakyat patut ambil kesempatan mendapatkan barangan keperluan harian pada harga menarik dan berkualiti,” katanya.

Beliau ditemui pada program Jualan Prihatin Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di tapak aktiviti Persatuan Penduduk Taman Jenaris di sini, hari ini.

Mohamad Khairil turut memohon kerjasama ahli dewan negeri (ADN) dan penyelaras DUN untuk menguar-uarkan program jualan murah supaya lebih ramai rakyat dapat manfaat.

“Kita mohon supaya wakil rakyat boleh bekerjasama dengan memberi promosi mencukupi. Ini kerana terdapat beberapa kawasan kurang mendapat sambutan terutama di bandar,” katanya.

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang dan inisiatif ini dianjurkan sehingga menjelang perayaan Aidilfitri.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi inisiatif itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Penjual Mohd Arif Aiman Ahmad Azli sedang menyusun telur ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :