Orang ramai membeli barang keperluan harian pada program Jualan Prihatin Rakyat di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya pada 12 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah diteruskan di Shah Alam, Klang Ahad ini

SHAH ALAM, 8 APRIL: Orang ramai boleh mendapatkan bekalan barangan asas pada harga lebih murah melalui Program Jualan Prihatin Rakyat dijalankan di bandar raya ini dan Klang pada Ahad ini.

Program bermula 10 pagi hingga 1 petang itu akan diadakan di tapak bazar Ramadan Kampung Padang Jawa di sini dan pekarangan kediaman kakitangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Aktiviti jualan murah dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan setiap hujung minggu dengan menyasarkan 64 kawasan di seluruh Selangor bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 per kilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).

Pada 27 Februari, Kerajaan Negeri memutuskan menjual empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah sehingga menjelang Aidilfitri menerusi program Jualan Prihatin Rakyat.

Program pada setiap Sabtu dan Ahad secara berkala di seluruh negeri adalah kesinambungan inisiatif jualan murah yang dilancar Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada awal Februari lalu.


Pengarang :