Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah, negeri sasar 100,000 pengguna terima manfaat

AMPANG, 30 APRIL: Kerajaan Selangor menyasarkan seramai 100,000 pengguna mendapat manfaat menerusi program Jualan Prihatin Rakyat yang dianjurkan sejak Februari hingga Isnin ini.

EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim berkata sejak inisiatif itu dilancarkan, semua lokasi jualan barangan asas murah mendapat sambutan menggalakkan serta dipenuhi penduduk setempat.


EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Semoga usaha ini memberi manfaat kepada rakyat terutama ketika perayaan Aidilfitri. Jualan murah ditawarkan membantu meringankan beban belanja mereka,” katanya selepas meninjau program jualan di Dewan Serbaguna Jalan H, Kampung Pandan di sini, hari ini.

Izham berkata hari ini sebanyak empat lagi lokasi jualan dibuka Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) iaitu di Jalan Pandan 8, Pandan Jaya; Padang Awam Batu Caves, Gombak; Stadium Shah Alam serta Stadium Sabak Bernam.

“Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor turut menganjurkan program sama di 20 lokasi untuk hari ini dan esok menerusi Selangor Agro Market dan pasar tani bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya.

Program Jualan Prihatin Rakyat dilancar sejak 28 Februari dan sempena Aidilfitri ini, Kerajaan Selangor melaksanakan jualan besar-besaran melibatkan 29 lokasi bermula 25 April hingga 2 Mei.

Inisiatif seminggu itu menawarkan 23,200 ayam segar, 23,200 kilogram(kg) daging pejal, tulang lembu (16,700kg), telur ayam gred B (18,200 papan), minyak masak paket (25,200 kg) serta 1,500kg ikan selayang dan kembung (QFish).

EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim meninjau Karnival Jualan Mega Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :