Orang ramai membeli pelbagai barangan keperluan dalam program Jualan Prihatin Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 13 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program jualan murah Selangor catat perolehan lebih RM600,000

SHAH ALAM, 5 APRIL: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatat hasil jualan berjumlah RM633,977 melalui program Jualan Prihatin Rakyat setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairul Mohamad Razi berkata angka itu berdasarkan jualan produk seperti ayam, telur, daging dan ikan di 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak 8 Februari.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM190.241.10 diskaun telah diberikan kepada pembeli. Kita gembira melihat penerimaan dalam kalangan pembeli yang sangat baik dan menggalakkan,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau memaklumkan sebanyak 35,655 ekor ayam terjual dalam tempoh tersebut diikuti 16,430 papan telur, ikan 1,889 kilogram(kg) dan daging 763kg.

“Di setiap DUN, sebanyak 800 ekor ayam disediakan manakala 500 papan telur, ikan (100kg) dan daging 10kg,” katanya.

Program diadakan setiap hujung minggu di 64 kawasan di seluruh negeri bertujuan mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang dan inisiatif ini dianjurkan sehingga hari raya Aidilfitri ini.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100kg daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut dijual sepanjang program berkenaan.

Menerusi program itu, ayam standard dijual pada harga RM12 seekor, daging pejal segar (RM35 perkilogram), telur gred B (RM10 sepapan) dan ikan kembung atau selayang (RM8 per pek).


Pengarang :