Orang ramai membeli barang keperluan asas menerusi program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Kuala Selangor pada 23 April 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Program jualan murah tepat pada masanya, ringan beban rakyat

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Orang ramai menyifatkan penganjuran program Jualan Prihatin Rakyat tepat pada masanya tatkala rakyat dibebani kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini.

Juruteknik Khairil Anuar Ahmad Marwi, 46, berkata program jualan murah juga sesuai diadakan sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal.

Menurutnya, harga produk ditawarkan melalui program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berpatutan dan lebih murah berbanding pasaran sekali gus mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan.

Khairil Anuar Ahmad Marwi, 46. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Setiap bulan saya belanjakan kira-kira RM600 untuk membeli barangan keperluan asas tetapi melalui program ini saya mampu jimat lebih separuh daripada perbelanjaan tersebut.

“Harga ditawarkan jauh lebih murah seperti seekor ayam RM12 berbanding di luar mencecah RM18 hingga RM20. Saya berharap ia dapat diteruskan lebih kerap, paling tidak sebulan sekali supaya dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40),” katanya ketika ditemui di pekarangan pusat khidmat masyarakat (PKM) Permatang di sini hari ini.

Bagi petani Saipol Bahri Sahlan, 61, program tersebut memberi peluang buatnya membeli bekalan tambahan untuk memasak juadah berbuka puasa sebelum disumbangkan kepada jiran tetangga.

“Saya memiliki keluarga besar, apatah lagi masyarakat Jawa di Kampung Sawah Sempadan mengamalkan tradisi kunjung-mengunjung ketika Ramadan dan Syawal untuk mengeratkan silaturahim sambil berkongsi juadah.

Saniah Hasbullah, 53. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jadi saya tidak mahu lepaskan peluang membeli ayam, daging dan telur pada harga lebih murah walaupun pelanggan dikenakan had belian tertentu,” katanya.

Sementara itu, suri rumah Saniah Hasbullah, 53, tidak menyangka harga ayam di program terbabit jauh lebih murah berbanding tempat lain.

“Saya segera datang untuk membeli dua ekor ayam selepas anak di Kuala Lumpur memaklumkan berhubung program ini,” katanya yang menetap di Kampung Teluk Sempadan.


Pengarang :