Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam Majlis Iftar Perdana Cabang Gombak di Dewan Sri Siantan, Gombak pada 17 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Program tambah baik inisiatif untuk rakyat bermula selepas Aidilfitri

GOMBAK, 18 APRIL: Penambahbaikan pelbagai inisiatif untuk rakyat yang dibuat menerusi program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bakal dilaksanakan selepas perayaan Aidilfitri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan lebih ramai penduduk menikmati manfaat program berkenaan yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Beliau memberi contoh inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu lebih ramai penduduk hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

“Daripada RM200 mereka terima RM300 setiap bulan lepas raya,” katanya dalam majlis berbuka puasa bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Gombak di sini pada 17 April.

Amirudin menegaskan ISP juga menambah baik insiatif kesihatan kepada orang ramai, antaranya memperluas saringan kepada golongan lelaki bagi mengesan barah kolon.

“Dahulu ada program Tunas (bantuan tadika) tetapi sekarang ANiS (Anak Istimewa Selangor). Menerusi ANiS, kita pantau rumah kebajikan dan latih penjaganya untuk elak kes Bella berlaku lagi,” katanya merujuk kes penderaan baru-baru ini.

Beliau menambah bantuan meliputi pelbagai skim itu berasaskan usaha memberdaya dan memperkasa rakyat tanpa bergantung kepada Kerajaan Negeri.

“Pada 2008, kita bantu rakyat dengan kongsi kekayaan negeri. Tahun 2013, kita bantu dengan beri apa yang rakyat pohon. Mulai 2018 hingga sekarang, kita ubah. Kita mahu jadikan rakyat diupaya dan diperkasakan dalam setiap program,” katanya.


Pengarang :