EXCO Infrastruktur dan Pertanian YB Ir Izham Hashim bercakap kepada media ketika sesi sidang media khas Karnival Jualan Mega Prihatin di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Projek tanam jagung untuk makanan ayam mula selepas Aidilfitri

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kerajaan Selangor akan memulakan projek penanaman jagung untuk makanan ayam selepas Aidilfitri bagi mengatasi isu kenaikan harga makanan ternakan itu.

EXCO pemodenan dan asas tani berkata projek tanaman di bawah Program Intervensi Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijalankan atas tanah seluas 400 ekar di Negeri Sembilan manakala 300 ekar lagi di negeri ini.

Menurut Ir Izham Hashim, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan ayam yang ketika ini mencecah RM7 bilion dan disifatkan tidak munasabah.

“Kita harap perkara ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat agar (isu) harga ayam boleh diselesaikan, bukan setakat stabil tetapi diturunkan lagi. Memang terbukti berjaya (penanaman jagung untuk makanan ayam).

“Jika berjaya dilaksanakan, Selangor akan menjadi pelopor (penghasilan jagung untuk makanan ayam),” katanya kepada pemberita pada sidang media Jualan Prihatin Rakyat Mega di Pasar Tani Seksyen 13 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Sementara itu, Dr Mohamad Khairil berkata lebih RM3 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan projek penyelesaian jangka masa panjang susulan peningkatan harga makanan ayam.

Jelasnya kerja pembersihan tanah di Kuala Langat Selatan dan lokasi yang sedang dikenal pasti di Negeri Sembilan giat dijalankan sebelum projek terbabit bermula.

“Sekarang dalam perbincangan terakhir untuk kerjasama rentas negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Insya-Allah, selepas raya kita akan mulakan projek penanaman.

“Perkara ini juga akan diumumkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Pemodenan dan Asas Tani Ir Izham Hashim,” katanya.


Pengarang :