Datin Seri Masdiana Muhamad berkongsi pengalaman sebagai pesakit Covid-19 dalam Program Sokongan Psikologi Bekas Pesakit Covid-19 di Dewan Jubli Perak Bangunan SUK, Shah Alam pada 15 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Puspanita Selangor anjur program pulihkan semangat ahli dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 15 APRIL: Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Selangor menganjurkan program bagi menaikkan semula semangat ahlinya selepas dijangkiti Covid-19.

Penaung Datin Seri Masdiana Muhamad berkata Program Sokongan Psikososial disertai 109 peserta dari pelbagai agensi dan jabatan itu turut melibatkan kaunselor berpengalaman sebagai penceramah.

“Program bertujuan menyuntik kembali semangat ahli kerana ada antara masih berdepan dengan kesan Covid-19.

“Menerusi program ini, mereka dapat berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan. Cara ini boleh menggembirakan mereka dan memberikan ilmu baharu,” katanya pada majlis di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Dalam program anjuran bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Pertubuhan Anak Komuniti Malaysia, Masdiana turut berkongsi pengalaman dijangkiti wabak pada penghujung tahun lalu.

“Saya kena bersama tiga lagi anak berusia 11, lapan dan enam tahun serta mereka masih belum divaksin. Saya hilang deria rasa dan kami berempat kuarantin di bilik.

“Saya ambil tempoh sebulan untuk kembali sihat dan kerap melakukan senaman untuk dapat tenaga macam dulu. Covid-19 menyebabkan darah beku sekali gus jadikan kita lemah. Senaman bantu lancarkan darah,” katanya.


Pengarang :