Penjual telur, Mohd Arif Aiman Ahmad Azli, sedang membungkus dan mengasingkan telur ketika Jualan Prihatin Rakyat anjuran PKPS di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Putrajaya beri jaminan bekalan ayam, telur cukup menjelang raya

GURUN, 21 APRIL: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memberi jaminan bekalan ayam dan telur mencukupi menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Mafi Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata bekalan mentah berkenaan didapati tidak berkurangan serta berada dalam keadaan stabil.

“Kita memantau ladang-ladang penternakan ayam dan telur yang mana kita diyakinkan oleh pihak pengusaha ladang dan pengeluar bahawa bekalan mencukupi untuk musim perayaan nanti.

“Bagi Mafi, kita lihat dari segi bekalan manakala harga akan dikendalikan KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah HotPack Packaging Industries LLC (Hotpack) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Majlis pecah tanah itu bersempena jalinan kerjasama antara syarikat bioteknologi Malaysia yang mengeluarkan produk terbiodegradasi daripada jerami padi, Free The Seed Sdn Bhd (Free The Seed) dengan syarikat dari UEA berkenaan iaitu pembinaan kilang pertama Hotpack di Asia Tenggara.

Free The Seed menjadi rakan kongsi teknologi dan operasi bagi Hotpack dengan menyediakan bahan mentah, kepakaran, tenaga kerja dan pengetahuan teknikal kepada syarikat dari UAE itu.

Hotpack pula mengeluarkan dan menyediakan produk terbiodegradasi baharu untuk pasaran global termasuk negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Sementara itu, Ronald berkata kos pengeluaran haiwan ternakan ketika ini meningkat kerana harga komponen makanan ternakan yang dimport juga meningkat.

“Dari sudut pandangan Mafi kos pengeluaran ternakan meningkat sejak dua bulan lepas. Kita mengimport jagung dan hampas kacang soya dari luar negara yang tertakluk kepada peningkatan (kos di luar negara) jadi tentu sekali kos pengeluaran (kita) juga meningkat dengan peningkatan kos import makanan ternakan ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :