Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Rabies: Kes kedua di Selangor libat warga emas 85 tahun

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seorang lagi lelaki warga emas disahkan dijangkiti rabies di daerah Kuala Langat pada 22 April lepas, menjadikannya kes kedua di negeri ini setakat ini.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata kes terbaru itu melibatkan pesakit berusia 85 tahun yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pada 20 April lalu.

Dr Sha’ari berkata mangsa terlebih dahulu dirujuk ke Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang kerana masalah anemia (pucat) sebelum dimasukkan ke HTAR.

Katanya ahli keluarga mangsa mendapati tingkah laku warga emas itu berubah kerana beliau merupakan seorang yang aktif dan mampu menguruskan diri sendiri.

“Pemeriksaan mendapati beliau mempunyai luka di kaki kanannya yang tidak sembuh sejak dua bulan yang lalu. Sejak dua minggu lalu juga, beliau turut mengadu sakit kepala dan hilang selera makan.

“Beliau turut mempunyai sejarah digigit anjing liar di kawasan kediamannya di Pulau Carey dua bulan lalu,” katanya menerusi Facebook rasmi JKNS.

Dr Sha’ari berkata sampel cecair tulang belakang (CSF) dan biopsi nukal mangsa telah dilakukan pada 22 April dan disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Warga emas itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di wad isolasi HTAR, katanya.

JKNS pada 10 April lepas memaklumkan satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan dijangkiti penyakit rabies pada 4 April.

– BERNAMA


Pengarang :