Bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rafizi menang kes saman NFC, mahkamah putuskan komen diberi adil

SHAH ALAM, 21 APRIL: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bekas ahli Parlimen Pandan tidak memfitnah pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan syarikatnya berhubung dakwaan salah guna dana kerajaan.

Susulan itu, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed menolak rayuan Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail serta mengarahkannya membayar kos RM70,000 kepada Rafizi Ramli.

Dalam keputusan mahkamah, hakim berkata kenyataan naib presiden Parti Keadilan Rakyat itu tidak bermotifkan niat jahat dan dibuat secara adil untuk mengalahkan saman berkenaan, lapor Bernama.

Mohamad Salleh memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi pada 2013, selepas beliau mendakwa NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.

Sementara itu, Rafizi dalam kenyataan di Twitter berkata beliau sekali lagi memenangi kes saman yang difailkan NFC ke atasnya setelah mendedahkan skandal terbabit pada 2011.

Beliau turut berhasrat untuk mengembalikan wang saman yang dimenangi kepada orang awam dalam bentuk biasiswa dan bantuan kecil.

“Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan saya menang kes saman yang dibawa NFC. Siri kes NFC bermula 2011 dan berlarutan hingga 2022. Ada tiga kes terhadap saya, saya menang semuanya.

“Wang saman akan dipulangkan kepada orang ramai dalam bentuk biasiswa dan bantuan kecil,” katanya.


Pengarang :