Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor (kanan) menyampaikan juadah berbuka puasa kepada Ketua Kluster Operasi dan Strategik Media Selangor Mohd Zulkifli Ismail di pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 22 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rai Ramadan, MBI belanja RM1.5 juta salur bantuan dan juadah berbuka

SHAH ALAM, 22 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI membelanjakan kira-kira RM1.5 juta bagi menjayakan program Ihya’ Ramadan setakat ini.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporatnya Ahmad Azri Zainal Nor berkata jumlah tersebut memanfaatkan pelbagai agensi kerajaan, anggota berpakaian seragam, mahasiswa dan pengamal media negeri ini.

Menurutnya sumbangan kepada masjid dan surau serta badan bukan kerajaan (NGO) turut diberikan sejak awal Ramadan serta berterusan hingga menjelang Syawal.

“Kita menyediakan perbelanjaan RM3 juta tahun ini dan lebih separuh daripadanya sudah digunakan untuk program tanggungjawab sosial seperti sumbangan juadah berbuka puasa.

“Ini termasuk bantuan kepada masjid dan surau serta NGO yang mengadakan aktiviti sepanjang Ramadan seperti gotong-royong berbuka puasa serta membakar lemang,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengagihkan 110 pek juadah berbuka puasa nasi ayam penyet kepada kakitangan Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) di sini, hari ini.

Ahmad Azri berkata inisiatif tersebut bertujuan menyemarak semangat Ramadan selain berkongsi rezeki selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19.

“Kita mahu raikan dengan lebih meriah kerana sebelum ini tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.


Pengarang :