Pengacara dan pelakon Raja Azura (kanan) dan Bell Ngasri (tengah) serta Azlee Senario (kiri) melakukan rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Raja Azura, Bell Ngasri jaya sketsa Selangor Bangkit pada dua Syawal

SHAH ALAM, 19 APRIL: Raja Azura dan Bell Ngasri antara selebriti yang menjayakan lima sketsa dalam program Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri yang akan ditayangkan pada hari kedua Syawal.

Pelawak terkenal Azlee Senario dan penyanyi baharu Sissy Iman turut tampil dalam sketsa itu, dua daripadanya bertema kejadian banjir besar yang menimpa negeri ini hujung tahun lalu.

Pengarah produksi Adon Dagok berkata sketsa tersebut bertujuan mengenang kembali musibah berkenaan dan bentuk bantuan yang dihulur kepada penduduk terjejas, seiring semangat Selangor Bangkit.

“Kita turut selitkan sketsa humor yang kena dengan masyarakat seperti rebut raya dan kampung halaman. Dalam lakonan rebut raya, ada perang mulut bergaduh hendak balik kampung siapa, memang melucukan.

“Terakhir ialah sketsa mengenai juadah raya popular di Selangor. Kalau mahu tahu lebih lanjut, jangan lupa tonton,” katanya kepada Selangorkini pada 4 April.

Disiar di portal selangortv.my dan media sosial, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :