Timbalan Mufti Negeri Selangor Prof Madya Dr Miszairi Sitiris sedang melihat anak bulan melalui teleskop bagi menetapkan tarikh awal Ramadan di Balai Cerap Bukit Jugra Banting pada 1 April 2022. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Ramadan peluang bersihkan jiwa, didik diri cegah amalan buruk

Umat Islam di seluruh negara bakal menyambut Ramadan bermula esok. Bulan mulia yang memiliki banyak syafaat membuka peluang untuk beribadah kepada Allah dan beramal.

Berikut perutusan Ramadan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beberapa bulan sebelum ini kita sering kali berdoa “Allahumma bariklana fi Rejab wa Sya’ban wa balighna Ramadan”. Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.

Inilah harapan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW yang sentiasa dengan penuh harap untuk berada dalam kebahagiaan bulan Ramadan, bulan mulia yang dijanjikan seribu satu keberkatan kepada mereka yang mengambil peluang ini untuk berubudiyyah kepada Allah dalam segenap erti.

Keutamaan bulan Ramadan melebihi bulan-bulan lain sudahpun masyhur dalam thurath Islami. Memberhentikan sementara amalan lazim, atau semacam bentuk ‘pause’ untuk rutin yang dilaksanakan, sekali dalam setahun mampu mengolah citra keimanan dalam ketundukan menyeluruh kepada Yang Maha Pemberi.

Tidak hairanlah, ibadat tertua ini dianggap seperempat daripada iman, dan balasannya yang berganda dijanjikan Allah SWT sebagai sebahagian daripada rahsia-Nya.

Ibadah puasa adalah tradisi leluhur nubuwwah yang kita warisi dan menjadi sebahagian daripada fasa penting yang kita lalui di tengah kesibukan hidup kita saban tahun.

Kisah Nabi Yusuf yang sering berpuasa walaupun memegang jawatan besar menjadi peringatan supaya kita tidak sombong dan juga tidak melupakan mereka yang memerlukan.

Di samping itu juga hikmah ibadah puasa, seperti digariskan ulama-ulama muktabar, dapat membawa kepada nilai penyucian, pencegahan dan pemeliharaan kepada umat Islam.

Ibadah puasa adalah pintu yang membuka peluang untuk kita membersihkan jiwa dan rohani, juga mendidik diri untuk mencegah daripada amalan yang buruk dan pada masa yang sama dapat memelihara kesihatan jasmani dan rohani kita.

Sudah pasti ramai dalam kalangan kita merindui saat-saat menyambut Ramadan sebelum pandemik.

Alhamdulillah sekarang ini kita berada dalam fasa endemik. Umat Islam dibenarkan kembali menunaikan solat tarawih berjamaah dan mengimarahkan masjid dan surau. Tetapi suka saya berpesan agar kita tetap memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, dan pastikan diri tidak bergejala sebelum berjemaah.

Diharapkan umat Islam bukan sahaja dapat merapatkan saf di masjid dan surau, malahan menyatukan juga hati kita semua dalam kerahmatan, penuh ketenangan, jauh daripada pergolakan. Inilah intipati puasa, yakni bukan sekadar berlapar dahaga dan menjaga kemaluan, tetapi turut merangkumi penjagaan mata, tangan, kaki dan juga hati kerana kesemua anggota ini akan diminta kesaksiannya di Hari Akhirat kelak.

Inilah yang sepatutnya menjadi matlamat kualiti puasa kita semua: tingkatan yang dipanggil sebagai ‘sawmul khusus’ dalam metodologi Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali rahimahullah.

Manfaat kesihatan yang dapat dicapai dengan puasa sudah tidak dapat dinafikan lagi termasuk bukan muslim yang mengamalkannya. Diharapkan tiada di antara yang membazir dengan berbelanja berlebihan dan membuang makanan dengan sengaja.

Semoga amalan di bulan yang mulia ini diterima oleh-Nya, insya-Allah.


Pengarang :