Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rancak semula pelancongan negeri, 26 penggiat terima dana RM480,000

SHAH ALAM, 22 APRIL: Tourism Selangor menerima 64 permohonan geran bantuan kewangan daripada penggiat industri pelancongan yang terkesan pandemik Covid-19.

Agensi memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 26 permohonan diluluskan melibatkan peruntukan hampir RM480,000 setakat 18 April tahun ini.

“Permohonan sepanjang 23 September tahun lalu hingga 31 Mac dibuat pelbagai pihak antaranya persatuan pelancongan negeri, pengusaha inap desa dan syarikat pengurusan acara.

“Lebih separuh daripada permohonan ini untuk  menjayakan program Familiarization Trip selain mengadakan acara pelancongan berimpak tinggi dan pameran,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Permohonan geran bantuan kewangan ditawarkan kepada penggiat industri pelancongan bagi menyokong pemulihan sektor pelancongan selepas negara beralih ke fasa endemik.

Inisiatif ditawarkan untuk program Familiarization Trip, misi jualan, pameran pelancongan dan acara MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).

Melalui inisiatif geran bantuan kewangan, amaun boleh dituntut berdasarkan satu penyertaan dengan kelayakan maksimum berjumlah RM20,000.

Pada 9 Jun lalu 2021 ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar memaklumkan bantuan kepada sektor pelancongan negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari dana melibatkan pemberian geran bantuan, baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital serta bantuan kewangan sekali bayar (one-off) kepada persatuan pelancongan negeri.

 


Pengarang :