Model Rumah Idaman yang ditawarkan Kerajaan Negeri berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM250,000 seunit. Foto laman web Idaman Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rumah Idaman dibina di Bukit Jelutong, tawar harga RM250,000

SHAH ALAM, 7 APRIL: Sebuah lagi projek Rumah Idaman akan dibangunkan di Seksyen U8 Bukit Jelutong, di sini bagi memenuhi keperluan rakyat memiliki kediaman pertama.

Dato’ Menteri Besar berkata pembinaan 1,260 unit rumah itu memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air serta dijual pada harga RM250,000.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan setiap bilik turut dilengkapi pendingin hawa dan almari baju selain kabinet dapur, peti sejuk berserta seunit televisyen 32 inci.

“Setiap bilik air dipasangkan pemanas air dan disediakan dua petak parkir. Rumah berkenaan memiliki balkoni bagi memboleh penghuni menghirup udara segar dan melihat pemandangan indah.

“Walaupun dibina di kawasan bandar namun harganya masih mampu milik serta lengkap keperluan. Kita jamin harga ini tidak lagi ditawarkan di Lembah Klang,” katanya secara langsung di Facebook.

Dibina pemaju hartanah terkemuka Nadi Cergas, Amirudin menambah projek itu juga berhampiran lebuh raya utama, memiliki kemudahan pengangkutan, institusi pendidikan dan pasar raya.

“Terdapat banyak pusat beli-belah selain hampir dengan Stadium Shah Alam dan Taman Komuniti Bukit Jelutong sekiranya mahu beriadah,” katanya lagi.

Individu berminat boleh layari www.platselangor.com atau www.rumahidamanbukitjelutong.com.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan inisiatif Kerajaan Negeri membina enam projek Rumah Idaman bagi membantu penduduk yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Selain Shah Alam, lokasi terlibat ialah Bandar Saujana Putra, Puchong, Cybersouth dan Puncak Alam.

 

 


Pengarang :