Karya asal Abu Bakr as-Siddiq tulisan Muhammad Hussein Haikal yang diterjemah Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi dan Pengarah Pusat Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Akmal Khuzairy Abd Rahman. Foto ihsan IBDE
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Saidina Abu Bakar: Riwayat, konflik dan kejayaan Islam

Selepas kewafatan Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah, perpaduan umat Islam terutama kaum Muhajirin dan Ansar mula goyah. Pelbagai konflik tercetus antaranya wujud golongan enggan membayar zakat dan murtad sedangkan Islam ketika itu rancak berkembang di Tanah Arab.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq akhirnya dilantik menjadi Khulafa Ar-Rasyidin pertama. Meski tempoh pemerintahannya singkat, keyakinan dan ketegasan beliau berjaya memimpin umat Islam.

Wartawan AFIX REDZUAN menelusuri pengalaman Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Farhan Affandi dan Pengarah Pusat Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Akmal Khuzairy Abd Rahman menterjemah karya asal Abu Bakr as-Siddiq tulisan Muhammad Hussein Haikal menerusi temu bual pada 5 April.

Mengapa pilih Abu Bakar as-Siddiq untuk projek terjemahan terbaharu?

Farhan:

Setelah selesai menterjemah dan menerbitkan buku sirah Nabi Muhammad oleh Martin Lings atau Syeikh Abu Bakar Sirajuddin, kami berasa puas dan bersyukur kerana sedikit sebanyak dapat membantu pembaca lebih mengenali dan menghayati perjalanan hidup baginda. Kami tidak jangka buku yang ditulis dengan gaya penceritaan yang sangat hidup ini mendapat sambutan luar biasa. Ini membuatkan kami berfikir untuk meneruskan usaha dengan menterjemah pula riwayat hidup Khulafa Ar-Rasyidin dimulai kisah sahabat utama Saidina Abu Bakar as-Siddiq, khalifah pertama.

Pada peringkat permulaan, timbul kesukaran untuk memilih penulis terbaik riwayat hidup Abu Bakar. Kalau buku sirah Nabi Muhammad, setelah melalui proses pembacaan dan perbincangan bersama kawan-kawan lain, kami merumuskan bahawa buku terbaik sirah nabi dengan gaya penceritaan yang menarik adalah karangan Martin Lings. Alhamdulillah, selesai terjemah dan terbit.

Tetapi untuk kisah hidup Abu Bakar, kami dapati tidak banyak penulis yang menulis secara terperinci. Selepas beberapa kajian dan perbincangan, timbul nama pengarang Muhammad Hussein Haikal yang terkenal dengan bukunya Riwayat Hidup Muhammad. Kami dapati kesungguhan beliau menggali sumber serta menyusun kisah hidup Abu Bakar sangat menarik. Bermula kisah hidupnya, perwatakan, hingga ke masalah yang dihadapinya termasuk kejayaannya meneruskan misi risalah dakwah Rasulullah. Kami mula terjemah buku ini pada 13 Februari dan siap sekitar November 2021.

Bagaimana proses terjemahan selepas melihat teks asal?

Prof Akmal Khuzairy:

Perwatakan Muhammad Hussein Haikal unik bukan sahaja penulis sastera, novel malah beliau ahli politik. Dia juga seorang menteri. Apabila membaca tulisan beliau, kita dapati hasil sentuhan beliau jarang kita jumpa pada penulis lain sebab dia menulis di samping menganalisis. Kadang-kadang kita baca buku sejarah, ia lebih kepada menghuraikan kronologi peristiwa tetapi kupasan Muhammad Hussein Haikal, saya dapati ada kelebihan. Bukan sahaja beliau menjiwai karekter tetapi cuba memberi ulasan dan kupasan daripada pelbagai aspek. Maksudnya, kita nampak penulis sebagai negarawan, dia akan ulas dari sudut negarawan. Sebagai seorang penulis novel, cara naratif dan merangkum semua kisah itu menarik.

Kita tahu zaman khalifah Saidina Abu Bakar tidak lama, ada tiga hingga empat peristiwa besar sahaja tetapi cara dia (Muhammad Hussein Haikal) cantumkan kisah itu memperlihat keunikan beliau sebagai penulis. Apabila baca buku ini, kita bukan sahaja terdedah kepada rentetan peristiwa tetapi kita seolah-olah memahami cara berfikir dan emosi (Abu Bakar). Bagi kita, sesuatu peristiwa itu mungkin biasa tetapi apabila kita dalami sebenarnya ada konflik. Kalau kita tengok suatu keputusan diambil Abu Bakar sebenarnya bukan mudah.

Teks asal setebal 314 halaman. Cuma bahasa Arab biasanya menterjemah sesuatu ayat yang lebih panjang dan mempunyai makna yang padat. Kita cuba lenturkan bahasa itu supaya mudah difahami kerana teks asalnya bahasa sastera. Walaupun kami belajar bahasa Arab tapi sebenarnya (penterjemahan) sangat mencabar kerana ia ditulis ala novel dan sastera, bukan teks bersifat ‘straight forward’.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) Farhan Affandi

Ada naskhah lain yang dipertimbang selain karya Muhammad Hussein Haikal?

Farhan:

Ada, yang ditulis Abbas Mahmud Al-Aqqad, penulis terkenal Mesir. Mereka berdua hampir sezaman. Tetapi pada penilaian kami, karya Muhammad Hussein Haikal mungkin lebih baik dan sesuai untuk diterjemah. Lebih menarik, Muhammad Hussein Haikal merupakan bekas pemimpin negara. Jadi, kupasan atau penceritaan dari seorang yang pernah menjadi pemimpin pasti memberi kita sudut pandang lebih menyeluruh untuk memahami liku hidup dan pemerintahan khalifah pertama. Inilah antara asas yang membuatkan kami memilih Haikal. Bagaimanapun, untuk kisah hidup Saidina Umar Al-Khattab, kami terjemah dari karya Abbas Mahmud Al-Aqqad. Kerja terjemahan telah dimulakan dan kami jangka akan siap pada akhir tahun nanti insya-Allah.

Apakah bahagian yang susah dan mudah untuk proses terjemahan?

Prof Akmal Khuzairy:

Bahagian yang susah adalah petikan teks dari buku-buku sejarah lama. Bahasa yang digunakan betul-betul kita faham, ia adalah bahasa 1,200 tahun dahulu. Apabila buka kamus, ia bukan ada dua-tiga makna, malah sampai 40 makna. Kita kena pilih perkataan sesuai dengan makna ayat tersebut. Selain itu, ada baris-baris syair. Kita terpaksa fikir hampir setengah jam untuk pastikan rima akhir sama. Di situ kita guna kreativiti. Ada bahagian, kita terpaksa pasrah kerana jika diubah rima (syair) ia mengakibatkan makna asal lari jauh. Jadi kita kekalkan (teks asal) dalam keadaan pindahkan makna sahaja.

Yang ketiga, huraian Muhammad Hussein Haikal. Pada kita maksudnya mungkin kecil sahaja tetapi beliau menghuraikan jiwa dan perasaan seseorang itu hampir satu halaman. Untuk menggambarkan sifat dalaman bukan sesuatu yang senang. Kalau kita tidak terjemah dengan cara elok, kita tidak dapat rasai perasaan itu. Umumnya, kita faham (teks asal) tetapi mahu cari perkataan sesuai mengikut bahasa kita, itu yang kadang-kadang membuatkan kita kecewa. Makna perkataan boleh cari tetapi dari segi bahasa ada sedikit kekangan.

Farhan:

Bagi saya semuanya susah, lebih-lebih lagi bahagian mukadimah. Gaya penulisan bahasa Arab yang suka berulang-ulang meletihkan. Sebelum ini, saya terjemah bahasa Inggeris (sirah nabi) dan kini bahasa Arab (Abu Bakar). Walaupun bawa kelangsungan (terjemahan) dari kisah hidup nabi kemudian kisah sahabat utama Baginda tetapi apabila ‘terjun’ dalam bahasa Arab, saya akui ada tekanan sebab bagi saya Muhammad Hussein Haikal terlalu menjiwai watak Saidina Abu Bakar. Beliau bersungguh-sungguh cuba memahamkan pembaca apa yang dirasai khalifah pertama itu. Apabila terlalu banyak pengulangan perwatakan Abu Bakar, pembaca di Malaysia mungkin cepat bosan. Perkara itu jadi cabaran dalam menterjemah kisah Abu Bakar.

Adakah ini kerjasama penterjemahan pertama antara Prof Akmal Khuzairy dengan IBDE? Bagaimana usaha melancarkan proses terjemahan?

Prof Akmal Khuzairy:

Ya, ini pengalaman pertama bekerjasama dengan IBDE secara menyeluruh. Apabila kita ingin menterjemah perlu ada strategi. Sesuai dengan saya yang mengajar terjemahan di universiti. Apabila saya ditawar oleh Farhan untuk menterjemah, saya lihat semuanya tersusun. Bagi saya sebagai penterjemah, tempoh masa ditetapkan sesuai, purata (terjemah) dua hingga tiga muka surat sehari sebagai orang yang bekerja. Dari segi pengurusan juga terbaik memandangkan IBDE ada pengalaman menterjemah buku-buku lain.

Farhan:

Ini pengalaman kerjasama pertama. Walaupun kami (IBDE) ada pengalaman hampir enam tahun menguruskan terjemahan buku, kami juga berdepan masalah penterjemah yang tidak dapat ikut jadual. Tetapi dengan Prof Akmal Khuzairy, kami berpuas hati dengan kesungguhan beliau. Jadi kerjasama itu lancar. Jadual yang kami susun sebenarnya mengambil kira situasi penterjemah yang bekerjaya. Prof Akmal Khuzairy sangat membantu dalam menyiapkan buku ini. Cuma ada sedikit kelewatan peringkat editorial melibatkan beberapa perubahan struktur ayat dan tatabahasa.

Apakah cabaran besar sepanjang proses terjemahan?

Prof Akmal Khuzairy:

Setiap bab ada bahagian-bahagian yang mencabar sebab Muhammad Hussein Haikal suka menghurai peristiwa dan menyerlahkan perkara tersirat. Ia bukan sekadar memindahkan maklumat tetapi kita juga perlu pindahkan emosi supaya pembaca merasai apa yang cuba disampaikan. Kalau kita belajar sejarah, ada peperangan Saidina Abu Bakar memerangi golongan murtad. Tetapi dalam buku ini dihurai betapa susahnya Abu Bakar membuat keputusan untuk perangi mereka. Banyak konflik berlaku kerana diceritakan orang yang murtad bukan kembali sembah berhala. Mereka mengakui keEsaan Allah dan percaya kepada Nabi Muhammad tetapi mereka tidak mahu bayar zakat. Di situ baru kita tahu, mereka murtad kerana enggan membayar zakat.

Pada saya, kita mungkin belajar benda yang mudah tapi sebenarnya rumit. Hendak buat keputusan bukan perkara senang. Bagi orang yang mentadbir, kita boleh belajar cara Abu Bakar membuat keputusan. Walaupun pemerintahannya dua tahun, nampak senang tapi sebenarnya tidak. Di situ kita sebagai penterjemah banyak belajar perkara baharu. Misalnya untuk melantik seseorang, kita perlu pertimbang antara sikap dan kelayakan. Kita mesti pilih orang yang layak kerana tidak semestinya orang yang perangai elok itu layak. Itu antara perkara yang saya belajar.

Farhan:

Cabaran besar adalah bagaimana untuk menterjemah maklumat baru yang sangat mengejutkan yang sebelum ini saya tidak pernah tahu. Juga apakah nanti reaksi pembaca terhadap laporan yang dikemukakan Muhammad Hussein Haikal mengenai watak beberapa sahabat nabi. Contohnya, kisah perbalahan antara Ansar dan Muhajirin di Tsaqifah Bani Saidah sejurus selepas kewafatan Rasulullah SAW, pergeseran Abu Bakar dengan Saidatina Fatimah serta ahlul bait, kelewatan Saidina Ali memberi baiah, pergeseran antara Saidina Umar dan Khalid Al-Walid, kisah Khalid Al-Walid mengahwini Laila isteri Malik bin Nuwairah serta banyak lagi.

Kadang-kadang saya jadi serba salah, apakah nanti dengan pendedahan maklumat sebegini boleh menyebabkan pembaca menjadi jauh dengan beberapa sahabat nabi atau mungkin membenci mereka? Sedangkan dalam masa sama, riwayat-riwayat yang dinukil memang ada dalam kitab-kitab besar sejarah. Akhirnya, saya memujuk diri dengan memberi tumpuan kepada tujuan asal buku ini mahu diterjemah iaitu memberi pendedahan sebanyak mungkin mengenai liku-liku hayat dan pemerintahan khalifah pertama. Pepatah Melayu mengatakan, tak kenal maka tak cinta, jadi semoga usaha ini akan membawa pembaca mengenali Saidina Abu Bakar dengan lebih dekat.

Pengarah Pusat Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Akmal Khuzairy Abd Rahman

Bagaimanakah kepercayaan Saidina Abu Bakar terhadap Islam hingga beliau membenarkan segala risalah dibawa Nabi Muhammad SAW disaat orang lain masih ragu?

Prof Akmal Khuzairy:

Kalau kita mahu rumuskan pemerintahan Abu Bakar, ia diibarat jika Rasulullah masih ada itulah yang Baginda akan buat. Saya berani kata begitu. Abu Bakar tidak akan mengambil mana-mana tindakan melainkan betul-betul yakin yang jika Rasulullah masih ada, maka itulah tindakan yang Baginda akan ambil. Maksudnya seperti peristiwa menghantar tentera Usamah yang tergendala pada penghujung sebelum Rasulullah wafat. Bagi sesetengah orang, mungkin tidak perlu buat sebab Baginda sudah tiada tetapi sebab itu hajat dan arahan Baginda, dia (Abu Bakar) tetap ikut. Bagi saya apa yang dipelajari dari segi perwatakan Abu Bakar ketika menterjemah buku ini adalah bagaimana keputusan dibuat beliau cerminan kepada dasar yang akan dibuat Nabi Muhammad jika Baginda masih hidup. Itu sesuatu yang menarik.

Yang menariknya Muhammad Hussein Haikal turut menimbulkan persoalan dan mengupas beberapa keputusan Abu Bakar, misalnya menyerang Parsi, perkara itu bukan mudah. Dari sudut pandang beliau sebagai menteri dan masa beliau melihat keputusan itu bersifat ‘menyerang sekarang atau kita terlepas peluang’. Huraian Muhammad Hussein Haikal adalah tindakan itu lebih kepada untuk menyebar Islam.

Adakah gelaran as-Siddiq itu sesuai diberikan kepada Abu Bakar?

Farhan:

Saidina Abu Bakar mendapat gelaran as-Siddiq semasa beliau membenarkan peristiwa Israk dan Mikraj. Tindakan beliau membenarkan dakwaan baginda memperkukuh dan membantu menyelamatkan akidah pemeluk agama baru saat ramai kalangan mereka yang mula berasa sangsi dengan cerita yang disampaikan Rasul. Bayangkan jika Abu Bakar tidak bertindak demikian, apakah akan terjadi terhadap Islam yang baru berkembang, berapa ramai yang akan berpaling meninggalkan nabi.

Gelaran ini juga boleh dilihat sebagai pengiktirafan betapa kukuhnya keimanan yang dimiliki Abu Bakar yang seterusnya membawa kepada keyakinan yang tinggi terhadap dasar-dasar yang dibawanya. Kita dapat lihat keputusan-keputusan yang beliau ambil dalam pemerintahannya semuanya adalah berasaskan kepada keyakinannya yang teguh, walaupun saat para sahabat lain membantah, beliau tidak berganjak dengan keputusannya itu. Beliau benar-benar memahami sepenuhnya wahyu dan risalah seperti yang dipelajari dari Rasulullah.

Selepas menterjemah kisah Abu Bakar bagaimana anda melihat pandangan beliau terhadap kisah Israk Mikraj?

Prof Akmal Khuzairy:

Kisah mengenai Israk Mikraj hanya disentuh pada bahagian awal mengenai kepercayaan Abu Bakar terhadap Nabi Muhammad adalah sesuatu yang kita tidak boleh sangsi. Bagi orang lain, peristiwa itu adalah ujian sebab ada orang Arab ketika itu berpatah balik (daripada percaya) tetapi bagi Abu Bakar, beliau percaya semua yang diceritakan Rasulullah. Itu menggambarkan keyakinan beliau yang tiada tolok bandingnya. Keadaan itu juga mendorong orang melihat siapa sebenarnya Abu Bakar.

Bagi saya jika orang tidak nampak keperibadian Abu Bakar, ia pasti sukar kerana bukan mudah menjadi pemimpin kepada orang Arab. Kalau kita tengok selepas Rasulullah wafat mereka memberontak kemudian baru mereka hormat Abu Bakar. Kalau Abu Bakar tidak dihormati, orang tidak ikut arahan beliau. Abu Bakar sendiri tidak pernah tanya atau persoal Israk Mikraj. Dari situ, kita dapat lihat apabila sesuatu perkara datangnya daripada nabi, beliau akan ikut.

Zaman dahulu hendak lantik pemimpin bukan kena berkempen seperti sekarang. Zaman dahulu yang penting adalah reputasi. Reputasi pula mesti 100 peratus, tidak boleh 99.99 peratus. Masalah yakin ini tidak boleh ada syak. Sebab itu, orang Arab yakin dengan Abu Bakar kerana perwatakannya sepanjang bersama nabi. Semua itu menjadi testimoni bahawasanya orang yang mereka pilih adalah orang yang boleh dipercayai dan boleh mereka taruh kepercayaan.

Bayangkan bagaimana Abu Bakar mengeluarkan arahan untuk berperang dan pada masa seluruh keluarga dan keturunan turut menyertainya. Pada saya, sampai bila-bila kita tidak akan jumpa pemimpin sedemikian. Bagi saya, kejayaan sesebuah kepimpinan adalah seseorang pemimpin berjaya mengawal dan mengarah orang yang dipimpin.

Selepas selesai menterjemah buku ini bagaimanakah tuan melihat perwatakan sebenar Saidina Abu Bakar?

Farhan:

Sebelum ini, saya hanya kenal Saidina Abu Bakar sebagai seorang yang lemah lembut, sahabat nabi paling utama, sentiasa dampingi baginda, suka membantu, dan menjadi khalifah pertama atas sebab: memiliki kelebihan sebagai sahabat nabi paling utama seperti disebutkan baginda, dan juga isyarat tidak langsung apabila beliau diminta menggantikan nabi sebagai imam sembahyang sewaktu baginda sakit.

Selepas saya siap terjemah buku ini bersama Prof Akmal, pandangan saya terhadap Saidina Abu Bakar berubah. Rupa-rupanya beliau tidak sekadar yang saya kenal sebelum ini. Bagi saya, kehebatan Abu Bakar terserlah melalui cerita yang disusun Haikal. Abu Bakar seorang yang teliti sebelum membuat keputusan. Beliau selalu meminta pandangan sahabat dalam sesuatu isu, tapi bila keputusan telah dibuat, beliau tidak berganjak walaupun ada bantahan dari sahabat lain. Contohnya dalam isu memerangi golongan riddah, pengumpulan al-Quran dan lain-lain.

Kalau kita lihat keputusan-keputusan yang beliau buat semuanya melibatkan urusan hidup dan mati Islam. Kalaulah Abu Bakar membuat keputusan salah, tentu empayar Islam tidak pernah tertegak. Dari situ juga kita nampak gaya kepimpinan Abu Bakar sangat jelas sepanjang lebih dua tahun beliau mentadbir. Selain sebagai khalifah yang meneruskan agenda yang dibawa nabi, beliau juga seorang strategis yang cukup hebat. Kita boleh lihat bagaimana beliau menyusun strategi berdepan dengan golongan murtad dan merancang pembukaan wilayah baru.

Apakah kisah paling menyentuh hati sepanjang proses terjemahan?

Prof Akmal Khuzairy:

Bahagian menyentuh perasaan adalah setiap kali Abu Bakar perlu membuat keputusan. Selama ini kita melihat peristiwa itu berlaku ketika zaman Abu Bakar sahaja tetapi kalau saya berada di tempat beliau, saya juga tidak akan buat keputusan seperti itu. Pilihan beliau menakutkan. Buat apa pergi perang sedangkan kita tidak ramai? Kita belajar mengenai ilmu kepimpinan dan pentadbiran tetapi keyakinan dan keimanan yang ada pada Abu Bakar memang tiada tandingan.

Kalau kita tengok sepanjang kebangkitan Saidina Abu Bakar hingga Saidina Ali yang tidak sampai 40 tahun, bangsa Arab yang selama ini dikatakan oleh Rom adalah bangsa yang miskin, tidak berkasut dan separuh bogel akhirnya menjadi pengasas tamadun. Itu yang membuatkan saya tersentuh. Bagi saya 40 tahun cukup untuk menaikkan atau menghancurkan sesuatu bangsa. China misalnya kita tengok 50 tahun mereka berjaya bangkit. Tindakan dan keputusan Abu Bakar luar biasa hingga berjaya meruntuhkan empayar Rom dan Parsi. Menariknya bangsa Quraisy ini ‘kilang’ yang melahirkan pemimpin.

Farhan:

Bagi saya, keadaan sejurus selepas kewafatan Rasulullah situasi yang paling menyedihkan dan sangat sukar buat semua umat Islam. Apatah lagi, saya baru selesai menterjemah riwayat hidup baginda. Perdampingan bersama nabi melalui riwayat hidupnya sehingga ke penghujung, kemudian diteruskan dengan permulaan cerita mengenai situasi sejurus selepas kewafatannya sungguh menyedihkan. Kemarahan Saidina Umar saat orang mengatakan Rasulullah telah wafat mencerminkan betapa umat Islam tidak dapat menerima kenyataan itu.

Cerita Abu Bakar ini dimulai dengan babak itu. Ketenangan Abu Bakar berjaya menyelamatkan situasi tersebut. Melalui ucapannya yang sangat berpengaruh, beliau berjaya mententeramkan Umar dan hadirin di masjid nabi. Tanggungjawab yang dipikul selaku sahabat paling utama sangat berat. Pemergian nabi menguji keimanan semua orang. Belum jasad nabi selesai diuruskan, umat Islam mula berkumpul untuk melantik pengganti nabi. Pergeseran antara Ansar dan Muhajirin jika tidak diselamatkan oleh ucapan Abu Bakar yang bernas, nescaya menyebabkan malapetaka yang tidak mahu kita bayangkan. Semua ini dihadapinya dengan begitu tenang.

Apa yang pembaca akan rasakan selepas mereka membeli dan membaca buku Abu Bakr as-Siddiq?

Farhan:

Pada saya kalau kita mahu mengenali seorang sahabat yang setia dan kasih akan sahabatnya; yang berpegang teguh dengan misi yang dibawa sahabatnya, yang takkan sanggup melakukan sesuatu yang tidak dilakukan sahabatnya, seorang pemimpin yang hebat, yang begitu teliti membuat sesuatu keputusan, yang begitu yakin, yang dapat menangani situasi rumit dengan tekad yang tidak pernah goyah, maka bolehlah baca buku ini.

Kita akan lebih faham dan kenal Abu Bakar berbanding apa yang dibaca sebelum ini. Kita juga akan faham, kenapa beliau begitu dikasihi nabi. Kenapa beliau diminta menjadi imam sembahyang tatkala baginda sakit dan banyak lagi. Saya tahu memang banyak buku yang ditulis mengenai Abu Bakar di Malaysia tetapi saya belum jumpa buku yang menulis mengenai beliau seperti dikarang Muhammad Hussein Haikal. Sangat menyeluruh dan menarik.

Buku ini ada menyentuh kisah Saidatina Aisyah, anak Saidina Abu Bakar?

Prof Akmal Khuzairy:

Beliau bukan tokoh utama yang disentuh dalam buku ini. Saya juga tidak jumpa kupasan mendalam mengenai beliau kecuali pada bab akhir ketika Abu Bakar sakit. Saya rasa misi Muhammad Hussein Haikal adalah menyatukan pandangan sumber yang beliau peroleh dengan kupasan menarik supaya pembaca tidak keliru dengan percanggahan itu. Itu misi menarik.

Mengapa semua perlu mendapatkan terjemahan Abu Bakar as-Siddiq?

Prof Akmal Khuzairy:

Untuk orang biasa macam kita boleh baca kisah ini dari sudut semangat walaupun ia tidak disentuh secara jelas tetapi ia mencetuskan persoalan yang mengajak kita berfikir, contohnya kisah Khalid Al-Walid dengan pasukan tentera. Apa yang boleh saya rumuskan orang dahulu berperang macam main pingpong. Tiada masalah. Sentiasa bersemangat. Setiap kisah yang diceritakan memberi pengajaran kepada semua lapisan masyarakat. Paling penting bab nilai harga diri. Walaupun sesetengah pihak beranggapan mereka berjalan tidak berkasut dan berbaju tetapi ada harga diri. Bagi saya kisah Abu Bakar ada pengajarannya dan boleh dikupas dalam wacana.


Pengarang :