Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Sandiwara selepas hujan

Oleh Wan Nor Azriq

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

SAYA ingin melawat Taman Sri Muda. Tapi kenapa teh hijau saya belum disediakan dan ubat pelangsing saya belum dibeli? Kenapa nama saya tidak diletakkan pada kotak bantuan bencana? Kenapa beli air mineral Spritzer dan bukan air mineral Dasani? Kenapa beli beras dan bukan Maggi? Kenapa beli baju baru dan bukan baju lama? Kenapa kasut tumit tinggi saya belum digilap? Kenapa uniform Foodpanda saya belum digosok? Kenapa pihak media belum dihubungi? Kenapa saya hanya dapat dua budak pengiring berbanding sepuluh? Kenapa saya pergi melawat naik kereta dan bukan naik helikopter?

Dan siapa akan menyambut saya di Taman Sri Muda? Siapa yang akan mengawal trafik untuk memastikan saya tiba tepat pada masa, tanpa gangguan, tanpa sekatan dan tanpa perlu berebut-rebut jalan dengan van ambulans dan lori bomba? Siapa yang akan mengumumkan ketibaan saya menggunakan siren dan pembesar suara? Siapa yang akan memegang payung? Siapa yang akan menyediakan tisu basah? Siapa yang akan pakaikan saya jaket keselamatan? Siapa yang akan buat strim langsung di Facebook dan Instagram? Siapa yang akan tangkap gambar dan twit setiap langkah saya dari pintu kereta sehingga pintu pagar rumah pertama di Taman Sri Muda? Siapa yang akan bisik ke telinga saya nama setiap penduduk? Siapa yang akan tanda rumah mana satu yang pangkah kerajaan dan rumah mana satu yang pangkah pembangkang ketika pilihan raya lalu? Siapa yang akan hulurkan kotak bantuan kepada penduduk ketika saya berdiri dan senyum dan mengangguk dan membaca doa dan berusaha sekeras mungkin mengerutkan dahi simpati?

Dan saya ingin tahu, sebelum saya berangkat secara rasmi bersama juak-juak saya, adakah majlis penyampaian bantuan dana bencana alam sekitar malam ini di Hotel Sheraton Petaling Jaya sudah siap diatur? Adakah Perdana Menteri sudah dijemput? Adakah polis sudah menutup semua jalan keluar masuk dari Lebuhraya Persekutuan? Adakah unit FRU sudah siap berkampung di tempat parkir hotel sekiranya terlalu ramai mangsa banjir datang merangkak-rangkak? Adakah semua agensi media antarabangsa diberikan bilik hotel paling mewah dan hidangan stik wagyu paling mahal? Adakah bunga api akan ditembak sebaik sahaja Perdana Menteri merasmikan majlis tersebut? Adakah belon-belon Doraemon dan Nobita akan dilepaskan ke udara supaya ia dapat disaksikan oleh seluruh warga Kuala Lumpur? Adakah peperangan di Eropah dan Timur Tengah akan dihentikan sebentar untuk memberi laluan kepada acara saya? Adakah semua pejuang barisan hadapan di hospital, klinik, pusat kuarantin, dan tanah perkuburan akan berhenti bekerja sehingga majlis selesai dan saya melangkah masuk ke dalam kereta untuk pulang? Adakah doktor-doktor kontrak akan berhenti membuat demonstrasi? Adakah perompak kedai 7-Eleven dan Mydin akan datang ke pentas utama lalu mempersembahkan kepada semua tetamu terhormat, termasuk Yang Amat Berbahagia Perdana Menteri, hasil rampasan mereka? Adakah pencuci mulut sagu gula merah sebanyak 50 mangkuk sudah siap disusun dalam bentuk Menara Condong Teluk Intan buat ibu bapa saya yang saya terbangkan khas dari Perak menggunakan segala kemudahan tercanggih dan terbaik milik Angkatan Tentera Udara Malaysia?

Dan saya ingin tahu, bila pengorbanan saya di barisan hadapan ini akan menjadi tular di media sosial? Bila jumlah pengikut saya di TikTok akan naik kepada 1 juta? Bila saya akan dijemput untuk berdialog dan bernyanyi dalam siaran langsung TapauTV? Bila Ayman Rashdan Wong nak tulis buku mengenai asal-usul keluarga mak saya daripada keturunan Puteri Hang Li Po dan Sultan Mansur Syah? Bila Jack Malik nak ajak saya baca sajak-jak-jak-jak di atas meja restoran nasi ganja di Ipoh? Bila sebuah lebuh raya akan dibina di depan rumah saya? Bila Rahman Shaari akan angkat saya jadi Presiden Persatuan Penyair? Bila sebuah tugu akan dibina untuk saya di pintu gerbang Universiti Malaya? Bila Shuhaimi Baba nak turun padang bersama saya untuk buat dokumentari mengenai mangsa banjir supaya kita kemudian boleh bawa filem itu ke Oscar? Bila pasukan bola sepak Kelantan nak bina sebuah stadium atas nama saya? Bila Jejak Tarbiah nak terbitkan buku saya mengenai panduan kebahagiaan rumah tangga dan bagaimana menundukkan suami menggunakan kaedah Doraemon? Bila pilihan raya seterusnya?

Dan saya ingin tahu, apabila saya tiba di Taman Sri Muda, bagaimana saya boleh berada di situ tanpa perlu betul-betul berada di situ? Bagaimana saya memandang wajah mangsa banjir tanpa perlu merenung ke dalam mata mereka? Bagaimana saya memeluk tanpa menghidu bau hapak dan hanyir di tubuh mereka? Bagaimana saya berjalan tanpa mengotorkan kasut tumit tinggi saya? Bagaimana saya boleh membuat swafoto tanpa perlu keluar daripada bot penyelamat? Bagaimana saya patut senyum kepada budak-budak agar mereka percaya dengan kejujuran hati saya? Bagaimana saya boleh tolong cuci lantai tanpa perlu memegang apa-apa alat pembersihan? Bagaimana saya boleh berdoa tanpa mengutuk mangsa-mangsa banjir dalam hati saya? Bagaimana saya patut memberikan ucapan tanpa mendedahkan kejahilan saya mengenai masalah alam sekitar, kesengsaraan rakyat dan kegagalan kerajaan dalam menanggani isu ini?

Paling penting, dan tolong jawab jujur dengan saya, kenapa, oh kenapa, banjir ini berlaku sekarang? Kenapa kementerian saya terlibat? Dan kenapa seorang wanita perlu ikut campur tangan dengan kemusnahan yang berlaku akibat kecuaian pentadbiran pihak lelaki?

 


Pengarang :