BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sebab-sebab cuti paterniti tujuh hari tidak cukup

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Apabila anak lelakinya lahir 10 minggu lebih awal daripada jangkaan yang memerlukan ia ditempatkan di dalam inkubator di hospital pada 2014, Mohd Izad Misri berkorban masa hampir dua bulan menjaga si kecil itu.

Sepanjang tempoh itu, dialah ibu dialah ayah kepada bayi berkenaan. Membawa susu badan yang dibekukan sebelum dipanaskan dan diberikan kepada si kecil menjadi rutin hariannya sementara menantikan isterinya benar-benar sihat untuk menjaga bayi mereka.

“Saya lawat dia semasa waktu makan tengah hari. Saya (terpaksa) lanjutkan waktu rehat kepada dua jam. Biasanya waktu makan tengah hari cuma sejam, namun saya berbincang dengan ketua saya yang kemudian memberikan pelepasan selama dua jam kepada saya,” katanya yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) kepada Bernama.

Menurut Mohd Izad, dia mengambil cuti selama dua minggu untuk menjaga isterinya yang berpantang sendirian di rumah selain melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak dan mengemas hinggalah isterinya cukup sihat untuk berbuat demikian. Katanya dia turut melakukan perkara sama ketika kelahiran dua anaknya yang terdahulu.

Cuti yang diambil Mohd Izad adalah cuti tahunannya kerana pada ketika itu Malaysia belum mengiktiraf cuti paterniti untuk pekerja sektor swasta. Hanya penjawat awam diberikan cuti paterniti selama tujuh hari, sementara golongan bapa yang bekerja di sektor swasta terpaksa memanfaatkan cuti tahunan mereka atau mengambil cuti tanpa gaji bagi menjaga isteri semasa berpantang.

Namun situasi itu berubah pada bulan lepas apabila Parlimen meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 yang memberikan cuti paterniti sekurang-kurangnya selama tujuh hari untuk seorang anak dan layak diambil untuk lima orang anak. Peruntukan itu terpakai kepada si bapa yang telah bekerja sekurang-kurangngnya selama 12 bulan di sesebuah syarikat.

Parlimen juga meluluskan pindaan yang memperuntukkan tambahan cuti bersalin kepada 98 hari berbanding 60 hari sebelum ini, selaras dengan saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Kesaksamaan gender

Bersyukur dengan keputusan itu, Mohd Izad bagaimanapun berasakan tempoh cuti paterniti yang diberikan terlalu singkat.

“Seminggu tu memang tak cukuplah. Minggu kedua tu isteri mungkin tak kuat lagi nak masak sendiri dan buat semua,” katanya.

Pandangan sama disuarakan oleh pakar. Sekalipun menyambut baik penambahan cuti bersalin kepada 98 hari, mereka berpendapat tempoh cuti paterniti yang diluluskan itu tidak mencukupi, khususnya bagi mereka yang pertama kali bergelar bapa.

Namun pada masa sama, mereka melihat langkah itu sebagai satu perkembangan yang baik dan harus dimanfaatkan sebagai perintis ke arah penambahbaikan termasuk mendapatkan tempoh cuti paterniti yang lebih panjang serta faedah lain untuk golongan bapa. Sebaiknya mungkin hampir setara dengan yang ditawarkan oleh negara maju seperti Kanada dan Kesatuan Eropah yang memberikan cuti bersalin selama berbulan-bulan yang dikongsi bersama oleh ibu dan bapa.

“Ini merupakan satu pencapaian kerana daripada sifar cuti kepada tujuh hari, namun masih belum memuaskan,” ulas Prof Dr Noraida Endut, Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) di Universiti Sains Malaysia kepada Bernama.

“Cuti paterniti bermanfaat bagi ibu bapa, khususnya dari segi mewujudkan ikatan dengan anak-anak. Selain itu, langkah tersebut juga dapat menggalakkan si bapa untuk lebih terlibat dalam soal penjagaan anak, iaitu sesuatu yang bagus untuk keluarga sebenarnya,” tambah beliau.

Banyak kajian mendapati wanita yang suaminya mengambil cuti paterniti lebih berkemungkinan kembali ke alam pekerjaan dan meningkatkan pendapatan kerjaya mereka. Lantaran itu jugalah pertubuhan hak wanita serta berkaitan pekerja seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berusaha sejak bertahun-tahun lamanya untuk membolehkan golongan bapa yang bekerja ini diberikan cuti paterniti, yang menurut mereka dapat membantu mewujudkan tenaga kerja lebih seimbang.

Bagaimanapun kerajaan hanya mula menimbang isu itu secara serius pada 2015.

Mengulas lanjut, Noraida berkata sebahagian daripada masalah yang menyebabkan Malaysia tidak begitu bersedia untuk memberikan cuti bersalin yang lebih adil kepada ibu bapa adalah kerana tetapan minda tentang peranan gender dan penjagaan anak yang agak ketinggalan, iaitu kaum lelaki dilihat sebagai pencari nafkah sementara wanita bertanggungjawab menjaga dan membesarkan anak.

Perkara ini disokong oleh data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan penyertaan kaum hawa dalam ekonomi ialah pada 55.3 peratus, iaitu antara yang terendah di Asia Tenggara. Kajian susulan pula mendapati ramai wanita terbabit bertindak berhenti kerja selepas melahirkan anak.

Timbalan Pengarah Eksekutif WAO Yu Ren Chung yang memperjuangkan isu cuti paterniti selama tujuh hari sejak 2015, berkata adalah amat penting buat golongan bapa memainkan peranan mereka dalam kehidupan anak sedari awal, yang bukan sahaja membantu perkembangan si anak tetapi juga isteri mereka dari segi pemulihan dan bersedia untuk kembali ke pejabat.

“Penjagaan keluarga merupakan isu terbesar dan penyebab kaum hawa berhenti kerja. Sukar untuk mereka kembali semula ke pasaran buruh sekalipun mereka mahu berbuat demikian. Kita perlu buat sesuatu untuk mengubah tetapan minda ini serta menghapuskan stereotaip gender yang mengehadkan kebebasan ekonomi wanita,” ulas beliau.

Tambah Yu, majikan harus terus memberikan cuti paterniti yang lebih banyak kepada golongan bapa kerana ramai antara mereka yang mahu terlibat dalam kehidupan anak sebaik sahaja si anak lahir.

Sesetengah majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, bagaimanapun tidak mampu atau keberatan untuk memberikan cuti paterniti yang lebih lama kepada pekerja mereka. Tinjauan WAO pada 2020 mendapati suami kepada 257 wanita yang mempunyai anak yang menyertai tinjauan itu tidak dibenarkan mengambil cuti paterniti atau hanya diberikan cuti tidak sampai seminggu.

Namun besar kemungkinan perkara ini akan berubah sekiranya majikan mahu menarik dan mengekalkan pekerja berkualiti, termasuk menggalakkan wanita kembali ke alam pekerjaan, demikian menurut Randstad, firma perunding sumber manusia.

Ketua Operasi Randstad-Malaysia Fahad Naeem memberitahu Bernama wujud kekurangan bakat di Malaysia dengan pekerja mahir diperlukan dalam bidang IT serta pembuatan, membabitkan pekerjaan berkaitan automasi dan kecerdasan buatan.

Tambah beliau, wanita merupakan tenaga kerja utama dalam semua organisasi, dan kegagalan mengekalkan mereka dalam pasaran buruh atas faktor menjaga dan membesarkan anak akan memberi impak kepada ekonomi.

“Jika lelaki dan wanita diberikan faedah yang sama apabila mereka melahirkan atau membesarkan anak, jika mereka dapat membahagikan tanggungjawab itu sesama mereka pada satu peringkat, ini dapat menangani masalah dan negara dapat mengembalikan wanita terbabit ke pasaran tenaga kerja,” katanya.

Faedah kepada keluarga

Pada zaman sekarang, cuti paterniti amat penting kerana seseorang itu tidak lagi boleh bergantung harap kepada ahli keluarga yang lain untuk membantunya dalam hal penjagaan anak.

“Pada masa sekarang, kebanyakan keluarga adalah keluarga nukleus (hanya ada ibu bapa dan anak-anak). Kita tidak lagi boleh bergantung pada ahli keluarga yang lain untuk menjaga ibu yang sedang berpantang. Akses kita kepada pembantu rumah juga terhad,” kata Noraida.

Sehubungan itu katanya amat penting bagi lelaki mengambil cuti paterniti yang lebih lama bagi membantu isteri mereka pulih semula daripada proses bersalin.

Ahli psikologi klinikal Lee Kuan Shin berkata satu lagi kelebihan daripada langkah membenarkan suami berada di rumah di samping isteri selepas bersalin ialah menjamin pemulihan si isteri.

“Ada wanita yang berdepan dengan gangguan emosi selepas bersalin (kemurungan pascapartum). Justeru, apabila ada orang yang berkongsi beban emosi yang ditanggungnya, ini dapat membantu wanita itu,” jelas beliau.

Dalam sesetengah kes, gangguan emosi itu bertambah teruk dan menjadi depresi (meroyan), iaitu kesedihan berterusan melebihi tiga minggu. Antara gejalanya ialah diselubungi kebimbangan serta pemikiran yang tidak rasional termasuk rasa ingin bunuh diri. Menurut Lee, kehadiran seseorang di samping si ibu pada tempoh ini dapat membantunya menyesuaikan diri dengan bayi serta mendapatkan pertolongan apabila keadaan memerlukan.

“Alangkah bagusnya kalau ada orang lain di sisi untuk berkongsi beban. Anak-anak juga dapat melihat bahawa tanggungjawab membesarkan mereka membabitkan kedua-dua, ibu dan bapa,” katanya.

Kajian turut mendapati kemungkinan untuk wanita mengalami depresi dalam tempoh setahun selepas melahirkan anak adalah kecil jika suami mereka mengambil cuti paterniti.

Kemungkinan untuk anak-anak menghadapi masalah kesihatan mental juga rendah, sementara penyelidikan mendapati si bapa turut mengalami penyesuaian hormon untuk penjagaan anak, bermakna dalam konteks ini kesan biologi tidak hanya dialami oleh kaum wanita.

Kajian menunjukkan lelaki yang terlibat dalam penjagaan anak sejak awal berkemungkinan besar akan terlibat lebih mendalam pada tahun-tahun mendatang. Kajian juga mendapati anak-anak yang dibesarkan dengan penglibatan kedua ibu bapa berkecenderungan lebih gembira.

Menurut Lee, isu kesihatan mental selalunya tercetus daripada komunikasi yang kurang baik. Penglibatan kedua-dua ibu bapa lazimnya bermakna mereka boleh mewujudkan ruang untuk anak-anak berkomunikasi secara terbuka dengan ibu dan ayah.

“Jika seorang anak dapat menaruh kepercayaan kepada seseorang, sedia bercerita tentang masalahnya walaupun pada usia masih mentah, kita boleh agak anak itu akan membesar dengan kemahiran komunikasi yang baik selain pandai menangani masalah kerana mereka tahu bagaimana hendak mendapatkan bantuan,” jelasnya.

Mohd Izad mengakui rapat dengan anak-anaknya termasuk yang sulung berusia 12 tahun dan mereka akan datang kepadanya untuk bercerita tentang masalah mereka.

“Kalau ikutkan mereka lagi suka bapa dia daripada mak dia. Itu boleh saya cakap. Mak dia garang sikit,” ujarnya, ketawa.

– BERNAMA


Pengarang :