Arahan pemotongan gaji yang diputuskan Mahkamah Syariah selaras hasrat kerajaan dalam memelihara kebajikan wanita dan anak-anak yang terkesan dengan masalah penceraian. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sekat akaun bank bekas suami culas beri nafkah elak wanita, anak dizalimi

SHAH ALAM, 12 APRIL: Langkah kerajaan untuk menyekat akaun bank bekas suami yang culas memberi nafkah mampu mengelakkan wanita dan anak dizalimi.

Pegawai hal ehwal Islam Pejabat Agama Daerah Petaling berkata penguatkuasaan perintah berkenaan sangat wajar bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak terjaga.

“Kalau suami memang gagal tunaikan perintah mahkamah, jadi memang wajar terutama kepada lelaki yang mempunyai gaji tetap.

“Bagaimanapun jika bekas suami tidak ada pendapatan tetap, bergaji hari, tak ada akaun, langkah ini berat untuk dilaksanakan kerana memerlukan proses dokumentasi,” kata Ustaz Suhaimi Ahmad Wakid.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara bertajuk Culas Nafkah: Apa Hak wanita yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor hari ini.

Pada November tahun lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) memaklumkan tindakan sekat akaun bank terhadap suami atau bekas suami yang culas membayar nafkah.

Tindakan itu selaras pindaan Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan dan diwartakan pada 10 Februari 2021.

Pindaan pada perenggan lima jadual itu memasukkan pematuhan dan penzahiran maklumat bawah hiwalah, iaitu pemindahan hutang daripada penghakiman kepada institusi kewangan kepada pemiutang.

Selain itu, perenggan enam jadual sama berhubung penzahiran maklumat pemilik akaun di institusi kewangan melalui perintah mahkamah, tidak kurang daripada Mahkamah Sesyen turut diperluaskan kepada perintah dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Berikutan pindaan itu, perintah hiwalah dikeluarkan mana-mana peringkat Mahkamah Syariah boleh dilaksanakan institusi kewangan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

 


Pengarang :