EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tengah) menjawab soalan dalam Sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor Bersama SME dan Majlis Iftar Ramadan di Foyer SUK Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Azizi Shah (SSAAS) Shah Alam pada 15 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor cadang pinda enakmen halal negeri, sesuai keperluan industri

SHAH ALAM, 15 APRIL: Kerajaan Selangor akan meminda Enakmen Halal Negeri supaya selari dengan perkembangan dan keperluan semasa industri.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata cadangan pindaan enakmen itu kini dalam proses akhir sebelum dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dijangka pada Oktober depan.

Beliau menjelaskan enakmen sedia ada terlalu ringkas, pendek dan tidak menyeluruh kerana hanya memfokuskan segmen makanan serta minuman.

“Jadi, ia (enakmen) perlu ditambah lagi memandangkan sekarang ada segmen farmasi, ubat-ubatan, pelancongan, pakaian dan instrumen kewangan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi Dialog Aspirasi Pembangunan Industri Halal Selangor bersama pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta Iftar Ramadan di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Aspire Flagship Sdn Bhd (Halal Selangor Antarabangsa) Mat Ghazali Abd Rakim dan Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara Selangor Dato’ Dr Gavin Voon Shin Chin.

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata pindaan enakmen yang lebih tegas juga mampu mencegah isu pemalsuan tanda halal pada masa akan datang.

Menurutnya, setakat ini, penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sentiasa peka dengan isu terbabit dan akan membuat pemantauan jika timbul aduan.

“Aplikasi yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dapat digunakan untuk membantu mereka membuat pengesahan sama ada logo itu berdaftar atau tidak.

“Memang kita sedar ada yang main tampal sahaja (logo halal) dalam produk mereka, tetapi apabila disemak sebenarnya mereka tidak berdaftar dan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya lagi.


Pengarang :