Selangorkini
Pemain Selangor FC Herlison Caion De Souza meraikan jaringan gol pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Bola Sepak Petaling Jaya pada 10 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Selangor padam rekod tanpa kalah Kedah

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Selepas sekadar seri pada dua aksi pertama Liga Super, Selangor FC akhirnya meraih kemenangan sulung penuh bergaya apabila membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Kejayaan menundukkan naib juara Liga Super musim lepas itu menyaksikan skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner memanjat ke tangga kelima liga daripada kedudukan kelapan dengan mengumpul lima mata selepas tiga perlawanan.

Pada pertembungan malam tadi, kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan berhati-hati sebelum tuan rumah meledak dua gol dalam tempoh lapan minit hasil jaringan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-26 dan Herlison Caion de Souza Ferreira pada minit ke-34.

KDA FC yang mencatat kemenangan dalam tiga aksi pertama kempen musim ini bangkit memburu gol, namun gagal menemui penyudah sehingga penyerang gantian Mohammad Nor Hakim Hassan meletakkan Selangor selesa mendahului 3-0 pada minit ke-84.

Caion de Souza Ferreira menambah derita pasukan pelawat apabila menyumbat gol keempat Selangor pada minit ke-87 sebelum skuad Sang Kenari memperoleh jaringan sagu hati menerusi pemain gantian Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin pada masa tambahan.

Kekalahan itu menyaksikan KDA FC jatuh ke kedudukan ketiga dan berkongsi sembilan mata dengan Sabah FC yang mendaki ke tangga kedua selepas memenangi pertembungan ‘Borneo Derby’ menentang Sarawak United pada satu lagi aksi.

Kemenangan 1-0 Sabah FC di Stadium Negeri, Kuching itu sekali gus membolehkan skuad Sang Badak melebarkan rekod kemenangan kepada tiga perlawanan berturut-turut.

Gol tunggal perlawanan di Kuching itu hadir menerusi sepakan penalti disempurnakan ketua pasukan yang juga bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-80 selepas pertahanan tuan rumah Stuart Wark menjatuhkan Altemir Cordeiro Pessoa Neto dalam kotak penalti.

Sementara itu, pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin selesa di persada liga apabila mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam empat perlawanan selepas mengatasi Terengganu FC (TFC) 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva muncul wira skuad Harimau Selatan apabila menanduk masuk kedua-dua gol masing-masing pada minit ketujuh dan ke-33 untuk menafikan jaringan penyamaan TFC menerusi Kpah Sherman pada minit ke-31.

JDT kini mengumpul 12 mata selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kalah sekali gus menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora itu berada pada landasan tepat dalam misi mengekalkan kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut.

Dalam pada itu, dua gol Martin Adamec masing-masing pada minit ke-73 dan ke-89 memastikan PDRM FC bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) II yang mendahului menerusi jaringan Amirul Syazwan Nor Azmi pada minit ke-12 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

– BERNAMA


Pengarang :