BUDAYARENCANA

Selongkar tong sampah

Oleh Regina Ibrahim

Setiap kali mengakui bahawa saya penganut amalan freeganisme, masing-masing jadi terlopong. Berceritalah hanya pada rakan taulan yang difikirkan berbaloi sahaja. Roh ego manusiawi tidaklah mahu dicalar sembarangan saat bercerita tentang hidup percuma dan minimal. Muat naik barangan kutipan yang terkumpul dalam album Facebook diketik butang Only Me, kerana masih bertarung emosi – apa agaknya nanti bersarang di minda kenalan media sosial? Haprak sangatkah sehingga perlu menjunam selam tong sampah?

Dumpster Diving bukanlah cerita baharu, komuniti pemulung wujud di seluruh pelusuk dunia, skalanya mungkin berbeza. Tetapi niat para pemulung selain daripada menjana pendapatan, tetaplah sama: menyelamat dan sayang barang. Tidaklah ia membawa makna selongkar tong sampah yang berlendir busuk. Persediaan penting: Sarung tangan, sabun dan pelitup muka sudah lama digunakan sebelum kehebohan Covid-19. Secara peribadi, aktiviti ini dilihat sebagai cabang pada giat kitar semula, lantas memfaedahi barang buangan yang masih mampu digunakan sambil berhasrat merawat lingkungan – kitar semula dan kitar tinggi.

Mata mula menjadi tajam, kota ini nampaknya menawarkan beberapa lokasi tong sampah berbaloi; Jalan VVY lokasi pusat jualan barangan terpakai yang diimport kerap membawa rezeki. Pemilik pusat tersebut membuang berguni-guni pakaian dan barangan setiap hari. Bersama dengan pemulung lain, kami pernah diherdik. Jika beliau rajin, beliau akan menggunting pakaian-pakaian terbuang dengan harapan kegiatan selongkar kami terhenti.

“Itu perangai manyak busuk lo…” ujar Aunty Lin, pemulung yang mengayuh basikal roda tiga apabila setiap pakaian yang dijumpai, koyak tergunting. Sifat busuk perut timbul kerana ada pemulung yang tidak bertanggungjawab. Awal tahun 2022, tiada lagi guni-guni barangan. Lokasi pelupusan baharu mungkin diusahakan oleh pemilik, namun dalam diam beliau diterimakasihkan kerana setakat ini, ratusan barangan telah berjaya dikutip, didermakan kepada pusat bantuan dan NGO sewaktu terjadinya pelbagai bencana sejak tahun 2015 dan teman-teman TKI (Tenaga Kerja Indonesia). Bayangkan, tiga ikat pakaian sekolah rendah dan menengah yang masih baharu, dengan senang hati didermakan di kawasan setinggan. Hati jadi bahagia.

Selain Aunty Lin yang baik hati (sering berkongsi kutipan sayuran yang masih elok), dua lagi kenalan, Chris, pemulung gelandangan kerap berkongsi penemuan, begitu juga Mr Tan pembersih yang cermat mengutip cebisan fabrik untuk dikerjakan alas kaki tradisional. Kami berhubung secara basa-basi, tanpa mengetahui latar belakang masing-masing.

Bermula dengan busana dan barangan kegunaan diri sendiri, aktiviti selongkar menemukan pelbagai buangan berkondisi elok untuk dimanafaatkan. Barisan jenama terkenal, asli atau tiruan mula memenuhi bilik stor. Dibahagi mengikuti kategori, dibersihkan, dijahit pulih jika perlu sebagai derma pada persatuan pilihan dan teman teman TKI. Riak wajah penerima menaikkan syahwat kegiatan.

Sesekali ketika menyelongkar, ada dialog bergema dalam kepala, “apa kau buat ni, Gina?” Beberapa barangan terpilih dibega, dijual di talian, kemampuan bertukang mampu bertukar jadi wang. (Gancu, rantai dan cangkuk tembaga tas tangan rosak dialih jadi perhiasan kostum). Bukankah itu juga kerja seni?

Sebagai artis holistik dengan pendapatan tidak tentu hala, anutan freeganisme didakap sejak tahun 2015 bila tugasan pentas dan kerja kerja seni tidak lagi konsisten. Mahu dikatakan papa kedana, tidaklah tepat. Sifat sayang barang, nikmat penemuan barangan elok dan berguna itu, nikmatnya semacam, cuitan bahagia aneh! Doa agar aktiviti kutipan tidak menjadikan diri sebagai penimbun – hoarders terus berdetik, lagipun barangan bukanlah boleh dibawa ke liang lahat, bukan? Bertuah bila memiliki kenalan dan teman-teman yang tidak kisah menerima barang bekas (digunakan atau dijual di pasar karat).

Meloncat gembira bila sesekali menemui wang tunai terselit dalam tas lama, cincin emas perak selain barangan berjenama gah dan asli. Bila ada hari berrezeki, tersedia elok persalinan bersaiz tepat serba lengkap, bonus jika ia masih baharu.

Hubungan manusia dan barangan. Setiap kali menguruskannya, kepala tidak lepas bertanya tentang mewahnya generasi, ledak nafsu pemilikan, ketamakan, tahap bosan pengguna, begitu juga hambatan fesyen dan trend. Ya, sifat tidak sayang barang dan bodoh urus wang, rancak melintas di benak, suatu ketika dahulu apakah itu sifat aku sendiri?

Setelah tujuh tahun mengutip, automatis selongkaran jadi bersistematik, hanya barangan berguna sahaja diambil, sengaja ditinggalkan baki pada pemulung lain yang jauh lebih memerlukan. Jalinan silaturahim dengan penerima dinikmati – harus ingat, bukan semua suka menggunakan barangan terpakai!

Sepanjang menjadi pemulung berskala kecil, membega dan menderma, banyak falsafah hidup diteliti. Tertanya pada ghairah koleksi manusia, berapa banyak diperlukan? Hubungan manusia dan barangan seharusnya bagaimana? Sistem pelupusan negara berada di tahap apa? Apakah benar ungkapan lama ilmu Perdagangan, bahawa barangan dan perkhidmatan akan sentiasa diwujudkan kerana manusia tidak pernah puas? Saya bukanlah aktivis tegar tentang persekitaran. Segala pemerhatian dan pertanyaan, kekal sebagai cabaran diri atas landasan manusia.

Sesekali tersipu bila dipuji oleh anak-anak: “Cantiknya baju mama… head to toe branded!” Saya pemulung bermata fesyen, kenal akan potongan dan jenama, tahu pula menyuai padan penemuan-penemuan percuma tersebut, jika saiz tidak tepat pasti ada sahaja kenalan-kenalan pencinta fesyen sudi menerimanya sebagai hadiah (tahu atau tidak? Wallahualam!).

Sebelum tersedar, rupanya ribuan ringgit selama ini mengalir untuk pakaian pakaian pentas dan kasual (Selalunya dipakai sekali dua sahaja), kemudian tergantung digayakan sang almari, puluhan pasang kasut tumit tinggi dan tas tangan akhirnya menggelupas mati sendirian begitu sahaja dalam gerobok, begitu juga koleksi perhiasan kostum berlonggok yang akhirnya memaksa jiwa merumus. Sudah! STOP! Kamu bukan siapa-siapa wahai Regina Ibrahim, kamu bukan ahli kumpulan En Vogue yang berbusana hanya sekali tanpa diulang, zaman itu sudah berlalu!

Bertahun sebenarnya sudah tidak menjejaki butik dan pasar raya, kegiatan jamu mata dan terkejar-kejar musim jualan harga runtuh, ‘sales’ sudah tidak wujud dalam kamus harian. Apa yang ada dinikmati seadanya, membeli keperluan sahaja. Pengalaman ini sememangnya menyumbang terhadap pandangan dan nafas baharu tentang hubungan manusia dan barangan, menilai segmen kebercukupan, penjelasan nafsu serta nikmat berkongsi tanpa perlu mengeluarkan wang. Tambah membahagiakan, bila pemberian dihargai.

Saya sudah siap dengan beberapa helai baju kurung mewah untuk Idulfitri akan datang, kau ada?

Nota: Artikel ini ditulis selepas kejadian pada 21/02/21 (setelah siap mengambil tomato ceri dan ketiak jagung dari tong sampah pembekal sayuran), seorang lelaki dalam kereta menggamit, dihulur wang RM50, mungkin bersedekah kerana kasihan melihat si daif ini meninjau tong sampah. Terkedu jadinya, namun wang tersebut diambil sambil mendoakan agar pemberi yang kasihan pada pemulung dikurniakan segala sejahtera.

 


Pengarang :