Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar Abdul Rahim Kasdi (tengah) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf fakir dan miskin di pekarangan pusat khidmat masyarakat Sungai Tua, Batu Caves pada 29 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sempena Aidilfitri, 140 orang susah di DUN Sungai Tua terima bantuan RM500

GOMBAK, 30 APRIL : Seramai 140 golongan asnaf, fakir dan miskin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menerima bantuan tunai RM500 sempena perayaan Aidilfitri.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata sumbangan daripada Worldwide Holdings memperuntuk sebanyak RM70,000 secara keseluruhan.

“Terima kasih kepada Worldwide Holdings kerana tidak putus-putus memberi sumbangan. Bantuan ini diberi khusus kepada penduduk DUN Sungai Tua yang kurang berkemampuan.

“Kita harap ia sedikit sebanyak meringankan beban penerima dan memudahkan mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tua di sini hari ini.

Rafaiee Razali

Salah seorang penerima Rafaiee Razali, 50, bersyukur dan menggunakan sumbangan itu untuk membeli persiapan raya anak-anak.

“Alhamdulillah syukur sangat dapat RM500, tidak sangka dipilih sebagai salah seorang penerima walaupun pada mulanya agak terkejut dapat mesej suruh hadir terima bantuan.

“Insya-Allah bantuan ini saya bercadang untuk beli persiapan kelengkapan raya anak-anak,” kata peniaga pasar malam itu.

Idrus Mohd Yusof

Manakala, seorang warga emas Idrus Mohd Yusof, 68, berkata beliau bercadang mahu memanfaatkan bantuan itu untuk membeli barangan keperluan harian.

“Saya tidak bercadang untuk beli persiapan raya kerana sudah tua, umur seperti saya hanya sambut Aidilfitri secara sederhana, pakai baju sedia ada sahaja.

“Mungkin wang ini boleh simpan untuk kecemasan atau untuk membeli keperluan asas. Apa pun saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan ini,” katanya.


Pengarang :