Pelakon Raja Azura (kanan), Bell Ngasri (tengah) serta Azlee Senario (kanan) melakukan rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Senandung Aidilfitri disiar 2 Syawal, papar mesej program dan bantuan negeri

SHAH ALAM, 29 APRIL: Selain menyajikan hiburan, rancangan Senandung Aidilfitri yang disiarkan dua Syawal ini turut menyelitkan maklumat program dan bantuan ditawarkan Kerajaan Negeri.

EXCO kebudayaan berkata rancangan bertemakan Selangor Bangkit itu menonjolkan sisi cakna dan prihatin Selangor terhadap nasib menimpa rakyat akibat pandemik dan bencana banjir.

“Dalam rancangan itu nanti turut diselitkan sketsa berhubung bantuan dan program Kerajaan Negeri kerana mungkin ada segelintir penduduk Selangor belum tahu apa yang ditawarkan.

“Selain itu, dalam rancangan ini juga kita mengajak rakyat untuk bangkit bersama selepas melalui pelbagai musibah akibat pandemik dan banjir,” kata Borhan Aman Shah pada program Borak Santai di YouTube SelangorTV pada 26 April.

Beliau berkata program lain termasuk takbir raya diketuai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan pimpinan negeri di masjid dalam kawasan terjejas banjir Disember tahun lalu.

“Jika tahun lalu, kita takbir raya atas Bukit Melawati tetapi tahun ini di Taman Sri Muda dan Taman Sri Nanding bersama EXCO, pegawai tertinggi dan penduduk setempat.

“Ini bermakna meskipun pandemik dan bencana berakhir, pemimpin sentiasa bersama rakyat dan kita menyeru mereka bangkit bersama,” kata Borhan lagi.

Rancangan Senandung Aidilfitri tahun ini menampilkan sketsa dan nyanyian daripada beberapa barisan artis antaranya Ziana, Zain, Sissy Imann, Elyana, Haziq Rosebi, Raja Azura dan Bell Ngasri.

Disiar di portal selangortv.my dan Facebook Media Selangor jam 9 malam, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung akibat Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :