AGENDA NASIONAL

Seorang maut akibat rabies, orang ramai dinasihat cuci luka gigitan haiwan

SHAH ALAM, 10 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat satu kes kematian melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang disahkan rabies pada Isnin (4 April).

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan di Facebook rasmi JKNS memaklumkan  mangsa yang berusia 40 tahun dan menetap di daerah Petaling itu, meninggal dunia di rumah pada 10 Mac lepas.

“Mendiang telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan keputusan ujian makmal bag spesimen otak didapati positif virus rabies,” katanya.

Dr Sha’ari berkata hasil siasatan dalam kalangan masyarakat setempat mendapati mendiang dilihat masih berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dua hari sebelum meninggal.

“Adalah dimaklumkan punca jangkitan masih dalam siasatan. Tiada gejala dan tanda penyakit rabies dilaporkan pada kes yang berlaku di Selangor ini,” katanya.

Dr Sha’ari berkata berikutan kejadian kes tersebut, beberapa langkah pencegahan dan kawalan telah dijalankan secara bersepadu oleh JKNS, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Petaling antaranya penangkapan anjing liar yang dijalankan di lokaliti terlibat bermula 7 April lalu.

“Spesimen haiwan yang ditangkap dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI),” katanya.

Dr Sha’ari berkata siasatan lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan Program Active Case Detection (ACD) dalam lingkungan radius satu kilometer dari rumah mendiang.

Katanya lagi, surat peka kepada semua fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan bagi meningkatkan kesedaran dan pengesanan awal kes gigitan anjing atau haiwan liar oleh pengamal perubatan di Selangor.

“Selain itu, pelantikan dua hospital rujukan kes gigitan anjing di negeri ini iaitu Hospital Shah Alam dan Hospital Serdang. Ini bagi membolehkan penilaian risiko dan kategori luka bag pemberian vaksin rabies serta rawatan immunoglobulin rabies sekiranya perlu,” katanya.

Susulan itu, Dr Sha’ari turut menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan apabila digigit oleh anjing atau haiwan liar iaitu segera membersihkan bahagian tubuh yang digigit atau dicakar dan mendapatkan rawatan.

“Segera laporkan kepada DVS Selangor atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah  sekiranya peliharaan berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif atau pihak PBT jika terdapat anjing atau haiwan liar yang berkeliaran di kawasan tempt tinggal,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :