Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Sesi penerangan dedahkan manfaat Plats 3.0, bantu luas niaga dalam talian

SHAH ALAM, 13 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan beberapa sesi penerangan dan pameran bagi menarik lebih ramai usahawan menyertai Platform Selangor (Plats) 3.0.

Ketua bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata sesi mengenai Plats itu diadakan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac lalu di Dewan Auditorium MBSA.

Shahrin Ahmad berkata MBSA turut menjalin kerjasama dengan majlis perwakilan penduduk bagi memberi pendedahan kepada peniaga mengenai revolusi pendigitalan oleh Kerajaan Selangor.

“Kita tahu peniaga sibuk dan kesuntukan masa untuk hadir serta mendengar penerangan berkaitan Plats kerana memberi tumpuan kepada perniagaan tetapi penting bagi mereka untuk menimba ilmu bagi mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sehingga Disember lalu seramai 1,260 peniaga sudah mendaftar dengan Plats 1.0 dan 2.0.

Sementara itu, pengarah jabatan korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata pihaknya akan terus membantu Pemerbadanan Menteri Besar atau MBI, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Plats mempromosikan platform tersebut kepada peniaga serta penjaja.

Menurut Mohamad Zin Masoad, aktiviti promosi, kaedah penggunaan dan khidmat sokongan perlu dipertingkatkan supaya golongan terbabit menjadikan Plats sebagai medium utama perniagaan.

“Langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan Plats sangat bagus kerana memudahkan peniaga meluaskan perniagaan melalui platform digital dan kita perlu meningkatkan lagi promosi serta pendedahan kepada mereka,” katanya.

Dilancarkan 8 April lalu, Plats 3.0 yang melibatkan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) menyasarkan penyertaan 10,000 usahawan mikro negeri ini.

Plats diperkenal Ramadan pada dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Pada 11 April tahun lalu, Plats 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.


Pengarang :