Orang ramai melawat gerai pameran sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 pada 18 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SIBS 2022 mula 6 Oktober, peluang tembusi pasaran serantau

GEORGE TOWN, 3 APRIL: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2022 akan menjadi platform penting dalam membantu pengeksport dan pengilang memulakan semula perniagaan mereka selain menembusi pasaran serantau, menurut Invest Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hasan Azhari Idris berkata SIBS 2022, yang akan diadakan dari 6 hingga 9 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kini lebih relevan berbanding sebelum ini dengan mengambil kira cabaran ekonomi semasa.

“SIBS boleh menjadi inisiatif hab perdagangan global utama oleh Selangor untuk membantu bukan sahaja pengeksport dan pihak pembuat dari Selangor malah dari negeri lain dan peserta serantau bagi memulakan semula perniagaan mereka di rantau ini.

“Saya juga ingin menjemput semua usahawan dari wilayah utara Malaysia untuk mengambil peluang ini dengan menyertai SIBS 2022,” katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena jerayawara SIBS 2022 di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata SIBS menyediakan peluang rangkaian untuk semua peserta merangkumi pelbagai sektor untuk bertemu dan bekerjasama, menggunakan Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN.

Hasan Azhari berkata sidang kemuncak itu menyediakan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang paling kondusif untuk Malaysia secara keseluruhan dan Selangor, khususnya.

Peserta boleh menggunakan SIBS sebagai platform untuk menjalinkan rangkaian dengan bakal pelanggan dan rakan kongsi perniagaan dari rantau ini, katanya.

Beliau berkata ini memandangkan Invest Selangor, cabang pelaburan kerajaan Selangor, akan menjemput dan menjadi tuan rumah kepada pembeli asing yang menghadiri sidang kemuncak itu serta mengatur secara lebih awal perjumpaan perniagaan secara langsung satu dengan satu.

“Peserta akan berpeluang untuk bertemu rakan kongsi berpotensi meliputi pelbagai industri sepanjang program di acara empat hari itu,” katanya.

Pelbagai pameran iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) 2022; Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) 2022; Ekspo Taman Perindustrian Selangor 2022; Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2022; dan Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor 2022, akan diketengahkan sidang kemuncak itu.

SIBS 2022 juga akan merangkumi Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor serta acara lain yang akan diadakan pada tempoh yang sama iaitu Festival Kulinari Antarabangsa Selangor 2022; Persidangan Penjagaan Kesihatan Antarabangsa Selangor 2022 dan Persidangan Halal Antarabangsa Selangor 2022.

Hasan Azhari berkata walaupun negara mengalami kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19, sidang kemuncak edisi 2021 berjaya mengumpulkan sebanyak 494 reruai pameran secara fizikal dan 623 reruai secara maya.

“Sebanyak 30 pembeli dari empat negara mendaftar dan menyertai sesi padanan perniagaan yang diadakan secara fizikal manakala 164 pembeli dari 31 negara mendaftar dan menyertai sesi padanan perniagaan secara maya.

“Secara keseluruhan, SIBS 2021 merekodkan jualan rundingan berpoteni bernilai RM217.6 juta, hampir mencecah rekod jualan SIBS 2019 berjumlah RM247 juta,” katanya.

Ikuti akaun media sosial Invest Selangor @selangorsummit atau layari www.selangorsummit.com untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mengenai penyertaan dalam sidang kemuncak itu.

-BERNAMA


Pengarang :