Petugas kesihatan sedang mengekstrak sampel dihantar ke pusat itu daripada aktiviti saringan Covid-19 dilakukan pejabat kesihatan daerah bagi mengesahkan status kes wabak, makmal pusat itu mampu memproses sehingga 5,000 sampel sehari di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sisa klinikal meningkat kepada 39.9 ribu tan metrik ketika pandemik

PUTRAJAYA, 29 APRIL: Sisa klinikal yang dihasilkan pada 2020 meningkat 18.1 peratus kepada 39.9 ribu tan metrik berbanding 33.8 ribu tan metrik pada 2019 ketika pandemik Covid-19, menurut laporan Statistik Alam Sekitar 2021 yang dikeluarkan hari ini.

Selangor menjana sisa klinikal tertinggi iaitu 9.7 ribu tan metrik diikuti Sarawak (4.1 ribu tan metrik) dan W.P. Kuala Lumpur (4.1 ribu tan metrik).

“Sisa klinikal mempunyai kesan langsung kepada kes Covid-19.

“Pengurusan sisa klinikal berdepan dengan tugas yang mencabar untuk mengendalikan peralatan ujian Covid-19 yang perlu dilupuskan di kemudahan kesihatan dan pusat kuarantin,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini.

Laporan berkenaan memaparkan statistik alam sekitar bagi 14 negeri merangkumi enam komponen iaitu Keadaan dan Kualiti Alam Sekitar; Sumber Alam Sekitar dan Kegunaannya; Sisa; Kejadian Ekstrem dan Bencana; Penempatan Penduduk dan Kesihatan Persekitaran; dan Penglibatan, Pengurusan dan Perlindungan Alam Sekitar.

Mohd Uzir berkata kebanyakan status kualiti udara mengikut stesen di seluruh Malaysia secara keseluruhan mencatatkan lebih banyak hari bagi status kualiti udara ‘baik’ dan ‘sederhana’ untuk 2020 berbanding 2019.

Dari segi penambahbaikan bilangan hari bagi status ‘baik’, stesen Sibu mencatatkan 291 hari (2019: 96 hari) diikuti stesen Kluang 277 hari (2019: 84 hari) dan stesen Pengerang 274 hari (2019: 111 hari)

Sementara itu, Mohd Uzir berkata kadar kemalangan jalan raya mencatatkan penurunan kepada dua digit iaitu sebanyak 26.3 peratus (2020:418,237 kes) berbanding peningkatan 3.4 peratus pada 2019 atau pengurangan kes sebanyak 149,279

“Buat pertama kalinya kadar kemalangan jalan raya menunjukkan penurunan amat ketara pada 2020 semenjak 1990.

Beliau berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah mengehadkan aktiviti industri dan pergerakan orang ramai atas jalan raya telah memberi kesan positif terhadap penurunan kadar kes kemalangan jalan raya di Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :