Sistem kawalan orang ramai yang diperkenalkan di pintu masuk bazar Ramadan Seksyen 4, Kota Damansara, Petaling Jaya memudahkan tugas anggota Rela untuk memastikan orang ramai mengimbas kod bar MySejahtera ketika tinjauan pada 4 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Sistem CCS perlu diperluas, tingkat keselamatan di kawasan tumpuan ketika Covid-19

PETALING JAYA, 5 APRIL: Sistem kawalan orang ramai atau crowd controlled system (CCS) yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan tumpuan orang ramai.

Malah sistem yang berperanan mengira jumlah pengunjung memudahkan petugas ketika mengendalikan Bazar Ramadan di Seksyen 4 Kota Damansara di sini, bagi mengawal penularan Covid-19.

Ketika ditemui anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengakui sistem itu memudahkan tugas mereka kerana tidak perlu lagi mengira jumlah kemasukan pengunjung.

“Sebelum ini kena kira secara ‘manual’ dan ada kalanya akan berlaku kesilapan tetapi dengan adanya sistem ini lebih mudah sebab jumlah keluar masuk terpapar pada skrin.

“Setakat ini sistem ini berfungsi dengan baik cuma masih ada yang marah-marah sebab kena beratur tetapi itu perkara biasa,” kata Norazizah Karim ketika ditemui Selangorkini.

Jurutera biomedikal, Muhd Haikal Mohd Khir, 25 berkata kaedah yang diguna pakai MBPJ ini memberi keyakinan kepada orang ramai khususnya ketika berada di kawasan tumpuan ramai.

“Rasa lebih yakin dan selamat untuk masuk ke bazar. Walaupun kita dalam fasa endemik tetapi virus itu masih ada dan langkah berjaga-jaga itu perlu.

“Jadi tindakan MBPJ ini wajar dipuji dan perlu diperluas lagi,” katanya.

Pendapat sama turut disokong juruteknik Muhd Hafizudin Zulkifli, 25, dan mencadangkan pihak lain perlu mencontohi usaha yang dilakukan MBPJ.

“Tempat lain kita tengok ada yang main redah sahaja masuk tetapi di sini terkawal jadi masing-masing lebih selesa,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata sistem berkenaan diperkenal untuk mengawal jumlah pengunjung bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Jelas beliau, dua lokasi terbabit adalah di bazar Ramadan di SS 6/1, Kelana Jaya dan Seksyen 4 Kota Damansara.

Beliau menjelaskan setakat ini hanya dua lokasi bazar Ramadan dipilih untuk mengguna pakai sistem tersebut kerana kawasan itu menjadi tumpuan pengunjung setiap tahun.


Pengarang :