AGENDANASIONAL

Sistem perbankan Maybank alami masalah teknikal

SHAH ALAM, 25 APRIL: Sistem perbankan Maybank termasuk penggunaan laman sesawang dan aplikasi Maybank2u mengalami masalah teknikal hari ini.

Bank itu di Facebook berkata perkhidmatan FPX (Pertukaran Proses Kewangan), penggunaan kad debit dan aplikasi MAE (Maybank E-Wallet) tidak dapat digunakan buat sementara waktu.

“Kami mengalami kelembapan sekali-sekala pada aplikasi M2U MY dan web Maybank2u.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin. Maybank juga mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan pemahaman anda,” tulisnya pada jam 10.30 pagi tadi.

Pada 3.20 petang ini, sebahagian sistem berkenaan kembali berfungsi seperti biasa, menurut Maybank di Twitter.

“Harap maklum anda kini boleh menggunakan perkhidmatan perbankan melalui aplikasi M2U MY, laman sesawang Maybank2u dan menggunakan semula perkhidmatan kad debit kerana perkhidmatan ini pulih seperti biasa.

“Kami sedang berusaha memulihkan paparan sejarah transaksi/kad debit pada aplikasi M2U MY,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, transaksi FPX dan MAE masih tidak berfungsi.

Manakala pada jam 5.12 petang sekali Maybank memaklumkan kesemua sistem perbankannya pulih sepenuhnya.

 


Pengarang :