Penyanyi nombor satu negara Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin. Foto Instagram CTDK
AGENDANASIONAL

Siti Nurhaliza sebaris artis antarabangsa, ungguli kedudukan ke-27 terima banyak anugerah

SHAH ALAM, 6 APRIL: Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin berada pada kedudukan ke-27 dalam kelompok 100 artis utama paling banyak memenangi anugerah sepanjang zaman.

Senarai dikeluarkan The Artist Museum menerusi Twitter semalam turut membariskan artis antarabangsa antaranya Michael Jackson, Taylor Swift, Ariana Grande, Mariah Carey, Beyonce dan BTS, lapor The Star.

Sepanjang lebih dua dekad terbabit dalam industri, penyanyi nombor satu negara itu merangkul 329 kemenangan, mengalahkan Justin Timberlake (322), Celine Dion (296) penyanyi Korea Selatan IU (233).

Artis yang menduduki senarai lima teratas ialah Michael Jackson dengan 1,003 anugerah, Beyonce (896), Taylor Swift (867), BTS (784) dan Justin Bieber (720).

Siti, 43, satu-satunya artis Malaysia yang paling banyak menerima anugerah hingga tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2001 dan kekal pemegang rekod itu hingga kini.

Antara kemenangannya ialah 42 anugerah di Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik (28), Anugerah Bintang Popular (25), Anugerah Juara Lagu (20), Anugerah MTV Asia (empat), Anugerah Muzik Dunia (tiga) dan Anugerah Muzik Indonesia (dua).


Pengarang :