Program pindah nilai kupon gores parkir Smart Selangor Parking di Subang Jaya pada Mac lalu. Foto Facebook Smart Selangor
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

SSP: 29,391 kupon parkir gores sudah ditukar kepada e-kupon

SHAH ALAM, 1 APR: Sebanyak 29,391 kupon parkir kertas gores ditukar pengguna di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini kepada e-kupon Smart Selangor Parking (SSP) sehingga hari ini.

Menurut Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), penukaran kupon kertas kepada aplikasi digital itu membabitkan nilai berjumlah RM17,942.20.

“Dengan penukaran kupon kertas yang dilaksanakan, sejumlah 88.2 kilogram (kg) penjimatan kertas berjaya dicatat bagi pembayaran secara digital melalui aplikasi SSP.

“Ayuh kita terus bantu bersama melestarikan dan memelihara alam sekitar kita,” katanya menerusi Facebook.

Bayaran parkir kereta di seluruh PBT Selangor dilaksana secara e-kupon sepenuhnya berkuat kuasa hari ini.

Orang ramai digalak memuat turun aplikasi SSP di Google Playstore, AppStore atau Huawei Store bagi memudahkan urusan pembayaran.

Pada 24 Mac lalu, EXCO kerajaan tempatan memaklumkan pemegang kupon kertas gores perlu mendaftar sebagai pengguna SSP untuk memindahkan baki nilai kupon kepada kredit bermula 26 Mac.

Ng Sze Han berkata inisiatif itu diputuskan selepas mengambil kira kebimbangan mereka yang berdepan kerugian berikutan penguatkuasaan sistem berkenaan.


Pengarang :