Orang ramai mengunjungi tapak bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa pada hari pertama pembukaannya di Kampung Baru pada 3 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sukarelawan pantau operasi bazar Ramadan, pastikan pengunjung ikut SOP

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung setiap hari di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru di sini, pastinya sukar untuk memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) dalam kalangan pengunjung bazar Ramadan yang popular di ibu kota itu.

Namun, dengan bantuan anggota pasukan petugas sukarelawan yang memantau dan komited bertugas setiap hari di kawasan ditetapkan di bazar yang beroperasi mulai 3 petang hingga 8 malam itu sejak 1 Ramadan lepas, mereka dapat memastikan pengunjung mematuhi SOP yang ditetapkan.

Walaupun negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, aspek pematuhan SOP masih perlu dititikberatkan terutama dari segi amalan pemakaian pelitup muka yang masih diwajibkan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

Petugas sukarelawan, Raziq Rusyaidi Ruslani, 23, berkata antara tugas harian beliau termasuk memastikan orang ramai memakai pelitup muka dan mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera sebelum dibenar memasuki ke kawasan bazar Ramadan.

“Kalau ada yang tak pakai pelitup muka, kita (petugas) akan meminta individu itu memakai pelitup muka terlebih dulu, kemudian baru dibenarkan masuk untuk membeli juadah berbuka puasa di 120 tapak gerai yang disediakan.

“Berbeza dengan tahun lepas, SOP di bazar kali ini lebih longgar tapi, kita tak boleh lalai dan semua orang mesti terus patuh SOP untuk elak dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, Kampung Baru, dekat sini.

Seorang lagi petugas sukarelawan, Fakhrul Ihsan Syahrizal, 22, berkata selain memastikan pemakaian pelitup muka, beliau juga akan mengawal dan memantau penjarakan fizikal antara pengunjung bazar.

Katanya walaupun tiada had jumlah pengunjung yang ditetapkan bagi memasuki kawasan bazar, langkah tersebut bertujuan mengelakkan kesesakan melampau di kawasan itu pada satu-satu masa.

“Selain jaga SOP, kita juga perlu jaga trafik dan jumlah kemasukan pengunjung, sebab kalau terlampau ramai atau ada halangan trafik, ini boleh menyebabkan kesesakan dan menyukarkan proses jual beli,” kata anak jati Kampung Baru itu.

Raziq Rusyaidi dan Fakhrul Ihsan merupakan ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Cawangan Jalan Raja Bot dan mempunyai pengalaman sebagai sukarelawan selama dua tahun di bazar Ramadan itu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

-BERNAMA


Pengarang :