Skuad ragbi wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Johor tahun hadapan ketika ditemui di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSUKANKINI

Sukma 2022: Selangor sasar raih 60 pingat emas

SHAH ALAM, 2 APRIL: Selangor menyasarkan kedudukan ketiga terbaik dengan meraih sekurang-kurangnya 60 pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 8 Oktober ini.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa atlet negeri selain latihan yang dijalankan secara konsisten.

“Jika dahulu kita menetapkan sasaran 80 pingat emas, tetapi mungkin sekarang 60. Saya minta Majlis Sukan Negeri (MSN) pastikan Selangor tetap unggul di kedudukan satu hingga tiga sama ada Sukma itu dalam bentuk diiktiraf atau sebaliknya.

“Saya percaya MSN di bawah pimpinan Mohamad Nizam Marjugi akan memantau atlet kita agar sentiasa bersedia membawa cabaran dalam temasya itu,” katanya ditemui selepas menghadiri majlis penghargaan atlet renang para di Hotel Mardhiyyah di sini malam tadi.

Sementara itu, Mohd Khairuddin menjangkakan seramai 800 atlet negeri menyertai temasya berkenaan, namun bilangan rasmi hanya akan diputuskan MSN Selangor sebaik perbincangan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau turut menjelaskan Jawatankuasa Teknikal Sukma belum memuktamadkan jumlah akhir acara yang bakal dipertandingkan dalam Sukma.

“Setakat ini belum ada ketetapan berhubung perkara itu (acara) dan masih dalam perbincangan dengan MSN negeri-negeri. Bagaimanapun. kita dengar ada dua atau tiga sukan tidak dipertandingkan,” katanya lagi.

Temasya Sukma ke-20 yang tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 akan berlangsung di sekitar Lembah Klang.

Penganjuran edisi yang dikenali ‘Sukma XX, MSN 2022’ disokong dan diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari lepas bagi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma turut bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang dipersetujui sebelumnya.


Pengarang :