Selangorkini
Sebuah hasil karya seni lukisan yang menarik perhatian DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor beli lukisan menarik

SHAH ALAM, 12 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan membeli sekeping lukisan yang memaparkan kumpulan haiwan di Parlimen Malaysia, mirip salah satu karya Banksy bernilai RM50 juta.

Berdasarkan lima foto di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dikenali sebagai pengumpul lukisan mengakui karya tersebut “menarik perhatian” Baginda.

Tanpa menyebut pelukis atau judul karya itu, Baginda berhasrat menggantung lukisan berkenaan di bilik bacaan peribadi dan melelongnya untuk tujuan kebajikan pada masa depan.

Lukisan itu memaparkan dua kumpulan haiwan termasuk katak, gelar negatif untuk ahli parlimen bertukar parti, yang duduk bertentangan ketika dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bergambar dengan sekeping lukisan yang memaparkan kumpulan haiwan di Parlimen Malaysia. Foto Facebook Selangor Royal Office

Menggunakan imej yang seakan-akan di dalam dewan Parlimen Malaysia, bagaimanapun imej Yang Dipertua dalam lukisan tersebut kurang jelas.

Namun ia mirip sekeping foto Tan Sri Azhar Azizan Harun pada 13 Julai 2020 sewaktu menyampai ucapan sulung sebagai speaker yang baharu.

Karya Banksy, seorang seniman jalanan Britain, berjudul Devolved Parliament pula menunjukkan monyet cimpanzi dan orang utan berada di kerusi dewan berdasarkan sudut pandangan pintu masuk utama.

Sultan Sharafuddin sebelum ini terkenal meminati seni lukisan dan memiliki koleksi pelbagai karya termasuk potret susur galur keluarga Baginda.

 


Pengarang :