Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin (dua, kanan) berkenan melawat ke tapak pameran pada Majlis Pelancaran Al-Quran Al-Karim dan Terjemahan Bahasa Cina di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor Seksyen 5, Shah Alam hari ini. Turut sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Abdul Latiff Mirasa. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor berkenan lancar al-Quran, terjemahan bahasa Cina

SHAH ALAM, 25 APRIL: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melancarkan Al-Quran Al-Karim dan Terjemahan Bahasa Cina yang diusaha dan diterbitkan oleh Yayasan Restu di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Pada majlis yang sama, baginda berdua turut berkenan meninjau ruang galeri pameran kesenian Islam di kompleks tersebut.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa dalam sembah ucapannya berkata Al-Quran dan Terjemahan Bahasa Cina, lengkap 30 juzuk itu mempunyai lebih 2,000 nota kaki bagi memberi penjelasan dan huraian kepada maksud ayat.

Beliau berkata penggunaan Bahasa Cina dalam mushaf tersebut mudah difahami atas usaha pemurnian dan pembaikan oleh Jawatankuasa Lajnah Terjemahan Bahasa Cina Yayasan Restu berbanding terjemahan asalnya.

“Istilah Islam dalam mushaf ini tidak bercanggah dengan ajaran Islam khususnya dari segi akidah. Al-Quran terjemahan ini telah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Bahagian Kawalan Dan Penerbitan Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri.

“Bagi memudahkan pembaca, setiap kalimah yang merujuk kepada Allah SWT menggunakan warna merah, manakala yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW menggunakan warna hijau,” katanya.

Katanya usaha penerbitan al-Quran dan terjemahan selama enam tahun itu didukungi Yayasan Restu dan Persatuan Cina Muslim Malaysia, dimulakan dengan pelancaran juzuk ‘Amma dan surah-surah pilihan serta terjemahannya dalam Bahasa Cina serta pemasyhuran Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor oleh Sultan Sharafuddin pada 28 Mei 2016.

Abdul Latiff berkata Yayasan Restu juga sedang berusaha mencari dana sebanyak RM4 juta bagi mencetak sebanyak 50,000 naskhah mushaf al-Quran tersebut.

“Percetakan dilaksana secara berperingkat bermula dengan cetakan pertama sebanyak 5,000 naskhah. Cetakan seterusnya dilaksanakan bergantung kepada dana yang diperoleh.

“Bagi memastikan kejayaannya, sokongan moral dan material daripada semua pihak amatlah diperlukan. Ia juga sebahagian daripada langkah dalam usaha memberikan nafas baharu bidang al-Quran dan memperkayakan kesenian Islam di Malaysia,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :