Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima zakat perniagaan bagi pihak Lembaga Zakat Selangor di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 22 April 2022. Foto ihsan KPS
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM2.35 juta

SHAH ALAM, 27 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) bernilai RM2.35 juta bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS).

KPS dalam kenyataan hari ini berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima zakat itu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam daripada Pengerusinya, Dato’ Haris Kasim.

“Bayaran zakat perniagaan kepada LZS adalah salah satu usaha bagi membentuk pembangunan kemasyarakatan negeri dan ia sudah menjadi tanggungjawab KPS, syarikat korporat yang memacu ekonomi Selangor menerusi aktiviti pelaburannya.

“Sumbangan zakat ini diharap dapat memberi impak positif kepada pembangunan sosio-ekonomi di seluruh Selangor terutama golongan asnaf,” kata Haris.

Hadir sama, Mufti Selangor, Dato’ Dr Haji Anhar; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KPS, Ahmad Fariz Hassan.

Selain itu, KPS berharap pembayaran zakat ini dapat memberi manfaat kepada golongan asnaf yang sudah dikenalpasti oleh LZS dan menerusi program yang sudah dirangka boleh membantu mereka keluar daripada kategori asnaf.

“Sejak 2017, KPS sudah membayar hampir RM8 juta kepada LZS dan ramai golongan asnaf sudah menerima manfaat daripada sumbangan zakat ini,” kata KPS.

 


Pengarang :