DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Norashikin mengabadikan gambar kenangan di ruang solat utama, Masjid Istana Diraja yang diilhamkan Baginda sendiri. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri titah hayati, amal kandungan al-Quran

SHAH ALAM, 19 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru umat Islam terus menghayati dan mengambil iktibar peristiwa turunnya al-Quran.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin bertitah kitab suci itu bukan hanya untuk dibaca, sebaliknya perlu difahami serta dihayati kandungannya.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Baginda bertitah al-Quran memiliki ilmu yang sangat bernilai, yang hanya dapat diperolehi melalui tadabbur atau memahami ayat-ayatnya.

“Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia serta terbukti menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku.

“Ia termasuk peringkat pentadbiran negara, pengurusan ekonomi, pembinaan sosial juga kelestarian budaya. Al-Quran merupakan tunjang dan dasar dalam memastikan setiap tindakan dipasak dengan nilai agama,” menurut kenyataan itu sempena Nuzul Quran hari ini.

Pada masa sama, Baginda turut mengingatkan muslimin dan muslimat sentiasa menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan mengambil pengajaran daripada isi kandungannya.

Titah Baginda lagi, kitab suci itu telah mengangkat Islam sebagai agama yang lengkap bersifat rahmat, selamat, adil, sederhana dan toleransi untuk kehidupan manusia seluruhnya.


Pengarang :