DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sultan, Tengku Permaisuri ucap selamat menyambut Ramadan, kembali imarah masjid

SHAH ALAM, 2 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam khususnya di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selain itu turut mengingatkan umat Islam supaya menjadikan Ramadan sebagai medan untuk menginsafi dan bermuhasabah, serta menjauhi perbuatan tercela seperti mengadu domba dan menyebar fitnah.

Menerusi Facebook Selangor Royal Office, Baginda bertitah Ramadan adalah peluang terbaik untuk mengumpul sebanyak mungkin pahala dan melakukan amal kebaikan dalam usaha menjadi khalifah Allah yang benar-benar beriman dan muslim yang cemerlang di dunia serta akhirat.

“Baginda juga berkenan menasihatkan muslimin dan muslimat untuk kembali mengimarahkan masjid serta surau termasuk menunaikan ibadah tarawih sepanjang bulan puasa ini, setelah kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) diberikan dan saf-saf kembali dirapatkan seperti sedia kala.

“Namun, Baginda mahu umat Islam terus berwaspada dan tidak lalai dalam menjaga SOP yang masih berkuat kuasa, demi mengelak jangkitan wabak Covid-19 daripada terus merebak,” kata kenyataan itu.


Pengarang :