Pagar Lebuhraya Utara-Selatan rosak akibat sekumpulan pelarian Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap pada awal pagi 20 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tahanan Rohingya lari, penduduk terkejut bunyi bising ketika sahur

NIBONG TEBAL, 20 APRIL: Penduduk di Kampung Sungai Kechil di sini yang baru sahaja selesai bersahur dan sedang menanti azan subuh pagi tadi gempar apabila dikejutkan dengan suara bising kumpulan warga asing yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Atan, 36, berkata kawasan kampung mereka tidak jauh dari depot berkenaan yang terletak di Jalan Besar Relau di Bandar Baharu, Kedah dan kejadian itu memang menggemparkan mereka kerana ini pertama kali warga asing yang ditempatkan di situ melarikan diri.

“Depot itu ialah Kem Latihan Khidmat Negara sebelum ini dan ia dijadikan pusat tahanan sementara untuk tempatkan pendatang asing, masa mereka lari ikut kawasan kampung memang ramai penduduk keluar tengok sebab terkejut dengan bunyi bising.

“Kami terus hubungi polis kerana bimbangkan keselamatan penduduk dan ada dalam kalangan mereka yang meminta air daripada kami kerana dahaga tapi tiada penduduk yang beri kerana takut apa-apa jadi,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kechil, di sini hari ini.

Atan berkata terdapat penduduk yang cuba mengepung kumpulan warga asing itu supaya tidak lari lebih jauh sementara menunggu pihak polis tiba di lokasi iaitu kira-kira lima kilometer dari depot tersebut.

Namun mereka terus melarikan diri menuju ke arah jejantas di kawasan lebuh raya sebelum turun menerusi laluan di situ dan masuk ke kawasan PLUS menghala selatan.

“Ada penduduk yang mengekori mereka dari jauh kerana mahu melihat mereka lari ke kawasan mana bagi memudahkan makluman kepada polis…semasa saya lalu berhampiran lebuh raya dan dalam perjalanan hantar anak ke sekolah memang nampak mereka di sana (PLUS),” katanya.

Atan berkata suasana di lebuh raya ketika itu masih gelap namun jelas di matanya dua kanak-kanak terbaring di tengah jalan manakala empat dewasa di tepi lebuh raya yang meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan ketika melintasi lebuh raya berkenaan.

“Ada ratusan warga asing yang melalui lebuh raya itu, ada yang masih berlari-lari di tepi lebuh raya untuk terus melarikan diri namun mereka tidak lagi melintas sebelum kesemua mereka ditahan polis sebaik pasukan (polis) tiba di situ mengepung kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berharap mereka yang masih bebas dapat ditahan segera kerana penduduk bimbang keselamatan berikutan kawasan kampung itu berhampiran ladang sawit dan pihaknya tidak menolak kemungkinan tahanan etnik Rohingya tersebut bersembunyi di situ.

Tinjauan Bernama juga mendapati selain menjalankan sekatan jalan raya dan rondaan, pihak polis turut membuat pemeriksaan bersama pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan ladang sawit bagi mengesan warga asing terbabit.

Terdahulu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap melarikan diri dari depot tersebut dalam kejadian awal pagi hari ini.

Kejadian itu menyebabkan enam warga asing yang melarikan diri maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan ketika melintas jalan di Kilometer 168 PLUS menghala selatan di sini.

-BERNAMA

 


Pengarang :