EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau kawasan rekreasi Bandar Puteri Puchong Town Park pada 5 April 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Taman rekreasi Bandar Puteri Puchong siap dinaik taraf, lokasi aktiviti keluarga

SUBANG JAYA, 5 APRIL: Kawasan rekreasi Bandar Puteri Puchong Town Park di sini, yang dinaik taraf sejak dua tahun lalu siap sepenuhnya untuk menerima kehadiran orang ramai.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kerja naik taraf taman rekreasi berusia 22 tahun itu menelan belanja RM1.4 juta dengan kos ditanggung sepenuhnya syarikat IOI Properties.

“Taman rekreasi seluas 11 ekar ini dibangunkan oleh IOI Properties dan dinaik taraf sejak dua tahun lalu, kerja naik taraf ambil sedikit masa kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Banyak kemudahan baharu disediakan untuk aktiviti bersama keluarga seperti taman permainan kanak-kanak, peralatan untuk meningkatkan kecergasan dan pelantar laluan yang membolehkan pengunjung melihat pemandangan indah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan berkenaan bersama pihak IOI Properties.

Sze Han yang juga Ahli Dewan Negeri Kinrara berharap pengunjung dapat menjaga kebersihan serta memastikan alam sekitar di kawasan itu sentiasa terpelihara.

“Taman seperti ini penting bagi kawasan yang mempunyai penduduk yang ramai seperti di Puchong, ia bukan sekadar taman rekreasi tetapi juga tempat pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau kawasan rekreasi Bandar Puteri Puchong Town Park pada 5 April 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

Pengarang :