Anggota Polis dari Ibu Pejabat Daerah Gombak meninjau lokasi tanah runtuh di Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang pada 30 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tanah runtuh: Pangsapuri Teratai selamat diduduki, penduduk dibenarkan pulang 

SHAH ALAM, 18 APRIL: Penghuni Pangsapuri Teratai, Bandar Baru Selayang yang terlibat dengan kejadian tebing runtuh Disember lalu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz berkata walaupun kerja baik pulih masih dijalankan, seramai 38 penduduk boleh kembali ke rumah mereka.

“Penghuni terbabit tidak perlu bimbang kerana kakitangan jabatan teknikal kita sudah memantau tapak berkenaan dan memberi jaminan ia selamat diduduki.

“Hasil lawatan bersama pihak teknikal pada 29 Mac lalu, arahan menarik balik perintah pengosongan rumah dikeluarkan dan berkuat kuasa 1 April lalu penghuni sudah dibenarkan pulang,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerja pembaikan tebing runtuh akibat hujan lebat Disember lalu itu dijangka selesai sepenuhnya pada 23 April ini.

“Ada penghuni yang sudah pulang ke kediaman mereka tetapi ada juga yang belum. Kita yakin selepas siap kerja baik pulih ramai yang akan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Pangsapuri Teratai adalah antara enam lokasi di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang yang berdepan masalah tebing runtuh  akibat hujan lebat pada 18 Disember lalu dan memerlukan pembaikan segera.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui inisiatif Selangor Bangkit memberi bantuan RM1,000 kepada penghuni pangsapuri terbabit yang terpaksa mengosongkan kediaman.

Jumlah sama turut diberikan kerajaan pusat kepada mereka melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI).


Pengarang :