Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai sepanjang Ramadan. Foto Facebook Team Selangor
AGENSISELANGOR

Team Selangor agih 30,000 bekas bubur lambuk sempena Ramadan

SHAH ALAM, 12 APRIL : Team Selangor menyediakan 30,000 bekas bubur lambuk untuk diagih kepada orang ramai secara percuma sepanjang Ramadan.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata agihan bubur lambuk yang dilaksana secara mingguan itu adalah simbolik aktiviti tahunan selain untuk mengeratkan silaturahim sesama masyarakat.

“Sukarelawan kami bersama penduduk setempat akan bergotong-royong memasak bubur lambuk dari pagi hingga petang sebelum ia diedarkan kepada orang ramai.

“Team Selangor menyasarkan 30,000 bekas bubur lambuk. Insya-Allah kita jangka aktiviti ini selesai seminggu sebelum Syawal,” katanya kepada SelangorKini.

Syahaizel turut memaklumkan pihaknya juga menganjurkan program kuliah di beberapa masjid dan surau sekitar Selangor sepanjang Ramadan.

“Kita juga bercadang untuk melaksanakan aktiviti mengacau dodol vaganza dan membakar lemang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.


Pengarang :