Seorang kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memasak lemang menggunakan mesin ketuhar yang telah dibangunkan oleh MARDI. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teknologi moden Mardi tingkat permintaan lemang sejuk beku

KOTA KINABALU, 22 APRIL: Lemang sememangnya menjadi antara juadah tradisi yang sinonim dihidangkan kepada para tetamu pada Aidilfitri, dan keenakan rasa berlemaknya akan lebih nikmat jika dimakan bersama rendang daging mahupun ayam.

Pada kebiasaannya, lemang yang dihasilkan secara tradisional akan mengambil masa agak lama antara empat hingga tujuh jam, selain perlu pemantauan rapi untuk memastikan ia masak dengan sempurna.

Namun dengan perkembangan teknologi dan inovasi, kini lemang boleh siap dimasak hanya dalam masa satu setengah jam hingga dua jam menggunakan mesin ketuhar yang telah dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Melihat keberkesanan mesin ketuhar itu dalam mengatasi kekurangan bekalan buluh, selain turut menjimatkan masa, tenaga dan kos, MARDI Sabah mengambil inisiatif memperkenalkan produk lemang secara sejuk beku bagi membolehkan ia dapat dinikmati pada bila-bila masa.

Pegawai Penyelidik MARDI Sabah Afni Ali berkata sebanyak lima mesin ketuhar digunakan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 55 batang lemang setiap hari dengan kerja-kerja penyediaan bahan memasak dimulakan seawal pukul 9 pagi.

“Satu mesin ketuhar lemang ini memuatkan sebanyak 10 batang besi tahan karat (acuan lemang) yang amat mudah digunakan dan saiznya juga sama. Lemang akan dimasak menggunakan dapur gas dan suhu kepanasan dikawal bagi memastikan lemang masak dengan sekata,” katanya kepada Bernama.

Afni berkata proses menyediakan lemang masih sama seperti kaedah tradisional termasuk menggunakan bahan-bahan seperti beras pulut, santan, gula dan garam, malah setiap acuan lemang akan diletakkan daun pisang bagi mengekalkan keaslian rasa serta aromanya.

Beliau berkata MARDI Sabah mula menghasilkan produk lemang sejuk beku itu pada tahun lepas, dan melihat kepada permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan pelanggan mendorong mereka untuk meneruskan inisiatif itu sepanjang Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

“Lemang sejuk beku ini boleh dikatakan produk paling laris dan mendapat permintaan tinggi sepanjang Ramadan kerana mudah dibawa pulang ke kampung dan mudah untuk disimpan. Setakat ini, maklum balas diterima daripada pelanggan adalah sangat baik.

“Ada daripada pelanggan mengatakan bahawa lemang sejuk beku yang dihasilkan mempunyai rasa cukup lemak, lembut dan langsung tiada beza dengan lemang yang dibakar menggunakan buluh,” katanya yang dibantu oleh beberapa kakitangan serta pelajar pelatih untuk proses memasak dan pembungkusan.

Setakat ini, Afni berkata lebih 500 pek lemang sejuk beku telah terjual, dan pihaknya mendapat lebih 200 lagi tempahan termasuk daripada beberapa jabatan kerajaan dan hotel untuk majlis berbuka puasa.

Sementara itu, Pengarah MARDI Sabah Helda Souki berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 1,400 pek lemang sejuk beku dijual yang terhad di sekitar Kota Kinabalu sahaja.

Beliau berkata produk lemang sejuk beku itu dijual oleh Dana Mardi Kota Kinabalu pada harga RM13 satu pek seberat satu kilogram, dan pihaknya turut menghasilkan dodol yang dijual pada harga sama.

Orang ramai yang berminat mendapatkan lemang sejuk beku dan dodol boleh terus ke pejabat MARDI Sabah atau menghubungi talian 088-490 148 untuk membuat tempahan, katanya.

Dalam pada itu, Helda berkata teknologi pemprosesan lemang secara mekanikal dipromosikan MARDI diharap akan dapat menarik minat para usahawan tempatan khususnya di Sabah untuk mengambil peluang mendapatkannya sekali gus digunakan dalam mengembangkan lagi perniagaan.

“Seterusnya boleh memberi impak serta sumber pendapatan kepada mereka,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :