Lembaga Tabung Haji mengumumkan kadar bayaran haji bagi 2022.
AGENDANASIONAL

TH buka permohonan rayuan haji 2022 mulai esok hingga 18 Mei

SHAH ALAM, 18 APRIL: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji melalui aplikasi THiJARI bagi tahun 2022 mulai esok hingga 18 Mei ini.

Pengarah Eksekutif Haji Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abul Rahman berkata permohonan secara dalam talian ini adalah kemudahan yang disediakan bagi membantu orang ramai membuat rayuan haji tanpa perlu menghantar surat secara fizikal.

Katanya, TH membuka permohonan rayuan haji sebelum jumlah kuota diumumkan sebagai langkah mengelak proses rayuan haji dilakukan pada saat-saat akhir.

“Pemilihan rayuan haji dilakukan berpandukan kriteria-kriteria tertentu dengan rayuan mahram diberikan keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, aplikasi THiJARI boleh dimuat naik secara percuma menerusi Google Play atau App Store.

Aplikasi ini akan memudahkan pendeposit untuk membuat rayuan haji, membuat semakan status haji dan pertanyaan baki simpanan.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan TH, sila lawati www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03 62071919

 

 


Pengarang :