Lembaga Tabung Haji kaji keperluan penstrukturan bayaran haji bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah.
AGENDANASIONAL

TH kaji keperluan bayaran haji bersasar, ringan beban golongan B40

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengkaji keperluan untuk membuat penstrukturan bayaran haji secara bersasar mengikut tahap kemampuan dan pendapatan jemaah bagi membantu mereka yang berhasrat mengerjakan ibadah itu.

Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata penstrukturan bayaran haji tersebut boleh membantu bakal jemaah haji, terutama golongan B40 untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu walaupun kurang berkemampuan.

Beliau berkata setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu memandangkan ia perlu mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak.

“Secara kasarnya ada jemaah haji muassasah, ada jemaah haji pakej swasta. Jemaah haji pakej swasta ini adalah mereka yang berkemampuan yang tidak perlu bantuan kewangan manakala golongan jemaah haji muassasah ada pelbagai kategori termasuk golongan berpendapatan rendah.

“Memang kami mengambil kira perkara ini dan kami mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk ahli ekonomi, akademik, ejen pelancongan dan juga kerajaan sama ada perlu membuat satu lagi struktur bayaran haji yang berbentuk bersasar untuk melihat dari segi kemampuan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Memahami Isu Kos, Bantuan dan Bayaran Haji’ di sini malam tadi.

Dalam program itu, Syed Saleh turut menafikan peningkatan kos menunaikan haji bagi jemaah muassasah pada tahun ini disebabkan masalah kewangan dihadapi TH memandangkan pihaknya telah mengumumkan agihan keuntungan kepada pendeposit sekali gus menunjukkan kedudukan kewangannya berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata peningkatan kos menunaikan haji tidak berkait dengan kedudukan kewangan TH, sebaliknya ia lebih kepada faktor inflasi, percukaian dan perkhidmatan lain di Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Syed Saleh berkata kos haji adalah adalah kos keseluruhan untuk jemaah mengerjakan ibadah itu merangkumi bayaran haji dan bantuan kewangan haji, dan ia dipecahkan kepada kos langsung dan tidak langsung.

“Kos langsung adalah kos perlu dibayar bagi mengerjakan haji seperti penerbangan, penginapan, makanan, pengangkutan bas serta perkhidmatan disediakan Arab Saudi manakala kos tidak langsung adalah perkhidmatan dan kemudahan disediakan TH secara percuma kepada jemaah seperti penerbitan buku, kursus haji, bayaran petugas serta perkhidmatan kesihatan dan lain-lain.

“Bantuan kewangan haji adalah bayaran ditanggung oleh TH untuk seorang jemaah manakala bagi bayaran haji pula adalah bayaran perlu ditanggung jemaah untuk menunaikan ibadah itu,” katanya.

Ditanya mengenai jangkaan jumlah kos dan bayaran haji untuk tahun ini, Syed Saleh berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketika ini TH sedang menunggu kerajaan Arab Saudi untuk mengumumkan jumlah kuota bilangan jemaah Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan ibadah itu pada musim ini.

Pada 9 April lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan jumlah jemaah haji yang dibenarkan bagi musim haji 1443Hijrah/2022 Masihi terhad kepada sejuta jemaah tempatan dan antarabangsa.

Kementerian itu menyatakan jumlah jemaah antarabangsa untuk tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara berkenaan dengan mengambil kira pematuhan semua kriteria penjagaan kesihatan.

Antara kriteria ditetapkan adalah jemaah perlu berumur di bawah 65 tahun dan telah melengkapkan vaksin Covid-19 asas yang diluluskan Kementerian Kesihatan Arab Saudi selain wajib menyerahkan keputusan negatif ujian PCR Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas.

Untuk rekod, tahun lepas Arab Saudi membenarkan hanya 60,000 jemaah domestik meliputi warganegaranya dan warga asing yang berada di negara itu untuk menunaikan haji.

– BERNAMA


Pengarang :