Mazlan Ismail, 45, memeriksa keadaan lembu yang akan dikorbankan semasa ditemui di Kampung Ubai, Melaka pada 26 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Thailand sedia bekal semula lembu ke Malaysia menjelang Aidiladha

HATYAI, 22 APRIL: Thailand sedia bekal semula lembu dengan mematuhi semua peraturan dan tatacara import yang ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia, khususnya untuk ibadah korban menjelang Hari Raya Aidiladha pada Julai nanti.

Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa Ternakan, Jabatan Pembangunan Ternakan Thailand (DLD) Dr Wacharapon Chotiyaputta memberitahu Bernama negaranya mempunyai kemudahan, kapasiti dan bekalan yang mencukupi untuk eksport.

Pemain industri, termasuk pengeksport dan penternak lembu di Thailand memberi jaminan akan mematuhi peraturan dan tatacara import Malaysia untuk memastikan ternakan bebas daripada penyakit.

Pada 7 Jun, 2021, JPV menggantung import lembu dan kerbau dari Thailand berkuatkuasa serta merta selepas menilai risiko penularan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) yang dilaporkan di lebih 41 wilayah di Thailand.

Ketetapan itu diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand, demi kepentingan industri penternakan ruminan Malaysia.

Selepas beberapa perjumpaan, perbincangan dan penambahbaikan beberapa peraturan dan tatacara import, JPV menarik balik larangan import lembu dan kerbau dari Thailand berkuatkuasa serta-merta pada 15 Mac lepas.

Sementara itu, Presiden Sri Wichai (Phatthalung) Beef Producer Cooperative Ltd Supak Thammaphet berkata pihaknya kini mempunyai bekalan lembu dan kerbau yang mencukupi untuk dieksport ke Malaysia.

Selain itu, beliau berkata semua lembu yang bakal dieksport ke Malaysia akan lengkap divaksin dan dikuarantin selama 28 hari di pusat-pusat kuarantin yang diluluskan DLD.

Pada 2021, Malaysia mengimport sebanyak 12,405 ekor lembu dari Thailand sempena sambutan Aidiladha berbanding 12,553 ekor pada tahun 2020.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Dr Azhari Sharidan Abu Bakar menyarankan semua pemain industri, termasuk pengimport, peraih dan penternak memberi kerjasama dengan memastikan import ternakan dari Thailand mematuhi tatacara yang ditetapkan.

“Langkah ini adalah penting untuk mengawal penyakit seperti seperti LSD, Food and Mouth Disease (FMD) dan Tuberculosis.

“Kita perlu memastikan kesihatan awam terjamin dan ternakan tempatan tidak terdedah kepada penyakit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara peraturan dan tatacara import yang telah ditambahbaik termasuk tempoh kuarantin selama 35 hari di fasiliti kuarantin bagi lembu ternakan dan tenusu manakala 28 hari kuarantin bagi lembu sembelihan.

Sementara itu, Kaunselor Pertanian Pejabat Penasihat Pertanian Bangkok Hairuddin Maslan berharap semua pihak di Thailand mematuhi protokol yang ditambahbaik agar dapat memenuhi permintaan keperluan lembu bagi sambutan Aidiladha tahun ini.

-BERNAMA


Pengarang :