Kenderaan menghala ke arah pantai timur dilihat mulai banyak berhampiran Plaza Tol Gombak ketika tinjauan kira-kira 10.30 pagi pada 29 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tidur enam ke lapan jam sebelum balik kampung, elak terlelap ketika memandu

SHAH ALAM, 29 APRIL: Orang ramai yang ingin pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri disaran tidur antara enam hingga lapan jam beberapa hari sebelum meneruskan perjalanan.

Jika masih mengantuk ketika dalam perjalanan, pemandu disyor tidur minimum 20 minit untuk mengelak terlelap sejenak, saran pengerusi lembaga pengarah Global Alliance bagi keselamatan jalan raya.

“Terdapat dua kategori tidur iaitu tidur kualiti dan tidur kuantiti. Beberapa hari sebelum perjalanan, saya syorkan pemandu mendapatkan tidur kuantiti antara enam hingga lapan jam,” kata Dr Kulanthayan KC Mani seperti dilapor Astro Awani.

“Tetapi kalau mereka mengantuk ketika perjalanan, sebaik mungkin disaran menghentikan kenderaan di mana-mana kawasan rehat dan rawat (R&R) terdekat dan tidur sekurang-kurangnya 20 minit.”

Beliau turut mengingatkan pemandu dan penumpang di bahagian belakang supaya memakai tali pinggang keledar yang mampu mengurangkan kebarangkalian kematian antara 40 hingga 50 peratus.

“Andai kata berlakunya kemalangan, untuk mengelak daripada kecederaan, satu-satunya produk keselamatan yang kita ada dan cukup efisien adalah tali pinggang keledar,” jelasnya.


Pengarang :