Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan air laut turut bergelora. Foto BERNAMA
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Tiga daerah di Selangor diramal ribut petir, hujan hingga 8 malam

SHAH ALAM, 18 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 8 malam ini.

Agensi itu menerusi Facebook memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini melibatkan daerah Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang serta seluruh Pulau Pinang dan Melaka.

Manakala, cuaca sama dijangka berlaku di Kedah melibatkan Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Muallim), Pahang (Rompin), Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).

Di Sarawak pula membabitkan Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan), Kapit (Kapit dan Belaga), Bintulu (Tatau) dan Limbang manakala Sabah (Pedalaman (Sipitang), dan Pantai Barat (Papar, Penampang, Tuaran dan Kota Belud).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :